Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mufti Perlis saran nama baru untuk Bon Odori
Diterbitkan:  Jun 10, 2022 11:12 AM
Dikemaskini: 3:16 AM

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan agar Festival Bon Odori di Malaysia diberi nama baru.

Asri berkata dengan berbuat demikian akan mengelak sebarang kekeliruan kepada umat Islam mengenai asal usul acara tersebut yang mengandungi unsur syirik dan khurafat.

“Jika boleh, diberikan nama baru atau nama tambahan di samping nama Bon Odori bagi mengelakkan kekeliruan dengan perayaan asal yang mempunyai unsur syirik dan khurafat.

“Ini seperti menamakan festival kebudayaan Jepun, atau masyarakat Jepun. Dengan itu, festival dapat diteruskan, dan polemik dapat dikurangkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Asri turut menyarankan penganjur agar memastikan tiada unsur keagamaan pada majlis itu.

“(Penganjur perlu) memastikan isi sambutan festival itu tidak bersifat agama, tidak dimasukkan unsur khurafat atau syirik tertentu dan tiada ritual yang mewakili kepercayaan tertentu,” katanya.

Bon Odori ialah acara tarian tahunan yang diraikan sempena perayaan Bon Jepun. Sepanjang tiga dekad lalu, acara tersebut turut diraikan di Malaysia di beberapa lokasi.


Baca lanjut: PANDUANKINI l Apakah itu perayaan Bon Odori?


Walaupun acara itu berakar umbi mengikut kepercayaan agama Budha di Jepun, ia kini disambut sekadar acara perjumpaan keluarga.

Ada pihak yang beranggapan acara Bon Odori di Malaysia bukan bersifat keagamaan tetapi lebih menjurus sebagai pertukaran budaya.

Festival Odori di Malaysia mencuri perhatian susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad yang menasihatkan umat Islam supaya tidak menghadiri acara tersebut.

Dakwanya, kajian yang dibuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati festival itu memang ada unsur-unsur keagamaan.

Bagaimanapun,Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak menyekat program kebudayaan Jepun Bon Odori.

Malah, baginda juga mencadangkan agar Idris supaya hadir ke program sambutan Bon Odori pada 16 Julai ini di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic).

Titah baginda, ini supaya pemimpin PAS itu dapat memahami perbezaan di antara agama dan budaya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS