Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR setuju tangguh kongres parti ke Julai - Sumber

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bersetuju untuk menangguhkan kongres nasional parti itu yang dijadualkan akhir bulan ini kepada 15 Julai hingga 17 Julai depan.

Menurut sumber dalaman parti, keputusan yang dibuat pada mesyuarat MPP semalam bertujuan untuk memberi ruang agar audit forensik dapat dijalankan terhadap bantahan-bantanan yang diterima berkaitan pemilihan parti.

"Mesyuarat semalam bersetuju menangguhkan kongres nasional agar parti boleh dilakukan audit forensik terhadap proses pemilihan parti.

"Tarikh baru kongres nasional ditetapkan pada 15 Julai hingga 17 Julai," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, bekas setiausaha politik presiden parti Anwar Ibrahim antara pemimpin yang menggesa audit forensik dilakukan terhadap proses pemilihan PKR kali ini.

Farhash Wafa Salvador Murbarak juga meminta pucuk pimpinan parti untuk menangguhkan kongres parti itu selagi audit forensik tidak selesai.

Pada pemilihan kali ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan bahawa dia tewas sebagai calon ketua cabang Gombak kepada Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari.

Sebelum ini, kongres PKR dijadualkan pada 24 Jun hinga 26 Jun ini di IDCC, Shah Alam.

Selain prestasi tidak memberangsangkan PKR dalam empat Pilihan Raya Negeri (PRN) sepanjang tempoh 2020 hingga Mac lalu yang menjadi antara agenda utama, kongres nasional kali ini juga menyaksikan pemilihan bagi 20 jawatan MPP.

Sementara itu, sumber itu juga memberitahu bahawa mesyuarat MPP semalam bersetuju untuk mengumumkan keputusan pemilihan parti akan pada 21 Jun ini.

"Ia selepas, kongres tahunan ditangguhkan ke Julai, maka, mesyuarat mengambil keputusan untuk mengumumkan keputusan rasmi pemilihan parti pada 21 Jun ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS