Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perbincangan kerusi PAS-Umno Selangor masih terpakai, kata Yunus
Diterbitkan:  Jun 8, 2022 7:08 PM
Dikemaskini: 11:08 AM

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi menegaskan segala ketetapan antara parti itu dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) masih terpakai selagi tiada keputusan terbaru oleh kepimpinan pusat kedua-dua parti.

"Bagi PAS Selangor, perbincangan pertimbangan prinsip dan formula pembahagian kerusi dalam MN masih lagi terpakai bagi mengelakkan tiga penjuru.

"Apapun selagi tiada arahan atau keputusan terbaru dari PAS Pusat itulah pendirian PAS Selangor yang tidak bercanggah pun dengan keputusan PAS pusat sehingga kini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dia mengulas Pengerusi Umno Selangor Noh Omar hari ini yang dilaporkan berkata formula pengagihan kerusi antara Umno dengan PAS di Selangor tidak lagi sah kerana PAS sudah menjadi sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN).

“Itu dulu, betul masa MN dulu. Tetapi sekarang ini bila dah PAS dah masuk PN, jadi formula ini kita tidak boleh pakai lagilah.

“Apa-apa terpulang kepada pucuk pimpinanlah. Kalau MN tak ada dah esok, tak adalah pakai formula ini. Kalau kata kita pergi solo, kita ikutlah,” katanya seperti dipetik wawancara bersama Utusan Malaysia.

Noh Omar

Pendirian itu dilihat bertentangan dengan kenyataan Noh pada awal Mei lalu bahawa Umno dan PAS akan memastikan tidak akan bertembung di Selangor pada PRU15.

Dia juga berkata pembahagian kerusi telah dibincang secara dasar oleh kedua-dua parti itu di peringkat negeri sebelum tertubuhnya PN.

Mengulas lanjut, Ahmad Yunus berkata bagi menumbangkan PH di Selangor, memang tiada kaedah lain kecuali satu lawan satu.

Justeru, katanya lagi, parti pembangkang di negeri itu perlu berlapang dada dalam membincangkan pembahagian kerusi.

"Calon yang berwibawa dan satu lawan satu menjadi fokus untuk menawan kembali negeri Selangor.

"Pimpinan semua parti tidak perlu angkuh, akhirnya memberi kemenangan kepada lawan. Kekuatan akar umbi dan jentera parti harus terus diperkasakan," katannya lagi.

Dia berkata PAS sentiasa komited dengan agenda penyatuan ummah terutama bersama parti dan NGO berteraskan Melayu-Islam yang tidak ekstrem.

"Agenda MN dan PN kekal hingga ke hari ini walaupun MN tiada ikatan rasmi pendaftaran dan PAS boleh sahaja meninggalkan Bersatu jika parti itu komited dengan khemah besar melibatkan DAP," katanya lagi.

Menurut laporan, terdapat persetujuan antara PAS dan Umno sebelum ini bahawa mana-mana kerusi dimenangi atas tiket Umno tetapi calonnya meninggalkan parti dengan menyertai Bersatu, kerusi berkenaan perlu dikembalikan kepada parti itu.

Bagi kerusi yang dimenangi PH pula, MN akan meletakkan calon berdasarkan undi kedua tertinggi diperoleh, sama ada oleh Umno atau PAS, pada PRU14.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS