Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri janji kelulusan seminggu permohonan ambil pekerja asing

Menteri Sumber Manusia M Saravanan menjanjikan tempoh kelulusan seminggu kepada majikan yang memohon untuk mengambil pekerja asing menerusi Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).

Bercakap dengan Malaysiakini, Saravanan berkata pada masa ini tiada isu berbangkit melibatkan pengambilan pekerja asing dari kesemua 14 negara.

"Isu pengambilan pekerja dari 14 negara sumber telah selesai.

"Mana-mana majikan yang memerlukan pekerja asing, mereka boleh mohon menerusi sistem sedia ada iaitu FWCMS dan kelulusan akan diberi dalam tempoh seminggu," katanya ketika dihubungi selepas mesyuarat mingguan Kabinet hari ini.

Justeru, katanya lagi, tiada lagi isu kekurangan tenaga kerja.

Malaysiakini difahamkan kelulusan memerlukan pengesahan jumlah pekerja yang diperlukan berdasarkan permohonan persendirian yang dibuat.

Ditanya jika Kabinet telah menimbang soal bilangan Agensi Pengambilan Bangladesh yang dibenarkan menghantar pekerja ke Malaysia, Saravanan hanya berkata "tiada apa untuk dibincangkan".

"Soal di Malaysia telah lama selesai. Di peringkat Malaysia, memorandum persefahaman telah selesai lama.

"Tiada isu di peringkat Kabinet. Oleh kerana Kabinet telah buat keputusan, sebab itu saya ke Dhaka. Jika tidak, saya tak akan ke sana," katanya lagi.

Dakwaan monopoli dan sindiket

Ketika mengetuai delegasi Malaysia ke bagi mesyuarat Kumpulan Kerjasama (JWG) dengan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Imran Ahmed minggu lalu, Saravanan memberitahu pemberita di Dhaka bahawa Kabinet akan membuat keputusan akhir berhubung jumlah agensi yang dibenarkan menghantar pekerja ke Malaysia.

Dia berkata demikian ketika ditanya pemberita Bangladesh jika Malaysia akan meneruskan keputusan membenarkan hanya 25 agensi dengan tuduhan pengamalan monopoli dan sindiket, di tengah gesaan daripada syarikat pengambilan pekerja di kedua-dua negara untuk membuka pasaran kepada lebih 1,500 agensi berlesen.

Pada Isnin lalu, Malaysiakini melaporkan senarai 24 agensi berlesen dari Bangladesh telah dipadam daripada FWCMS sejak Februari, berserta senarai dari 13 lagi negara yang membekalkan pekerja.

Pengendali FWCMS, Bestinet Sdn Bhd berkata senarai yang dibangkitkan beberapa media Bangladesh "tidak lagi sah" sementara menunggu semakan semula daripada Kementerian Sumber Manusia dan kedutaan terlibat.

Senarai awal itu dikatakan turut termasuk tiga agensi yang dimiliki ahli parlimen Bangladesh dan satu lagi diuruskan oleh isteri seorang menteri persekutuan negara itu.

Ketika dihubungi, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) Sukumaran Nair berkata selain kelulusan yang cepat, kerajaan juga patut menyelesaikan semua isu yang pada masa ini telah menghalang pekerja daripada datang ke Malaysia, walaupun selepas persetujuan bilateral telah dimeterai.

"Ada majikan dengan kelulusan sejak 2019 dan 2020 tetapi tiada pekerja yang masuk," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS