Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Junaidi: Ahli politik sekali pun tak ada hak kekang kebebasan bersuara

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini berkata tiada sesiapa pun harus cuba mengehadkan hak asasi orang lain untuk kebebasan bersuara.

Di Malaysia, Wan Junaidi berkata hak kebebasan bersuara termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kebebasan bersuara adalah hak asasi manusia sejagat dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita.

“Oleh itu, tiada sesiapa, ahli politik sekali pun, mempunyai hak dan kuasa untuk mengekang hak asasi ini,” kata Wan Junaidi dalam ucapan penutup forum maya Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang dianjurkan bersama oleh Pasukan Negara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kedutaan Kerajaan Belanda dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).

“Namun, saya percaya kita bukan sahaja perlu memastikan hak ini tidak disekat malah perlu ada penggunaan yang bertanggungjawab terhadap hak ini,” kata bekas timbalan speaker Dewan Rakyat itu.

Wan Junaidi berkata pengamal media, khususnya di Malaysia, mesti menyesuaikan diri dengan perubahan yang dibawa oleh Internet dalam penyebaran maklumat.

Dalam menggesa agar lebih banyak pengesahan sumber berita, Wan Junaidi berkata dia telah menjadi mangsa artikel yang mengelirukan berdasarkan petikan yang tidak tepat, dan dia dipaksa untuk menjelaskan atau membela diri mengenai perkara yang tidak pernah timbul.

“Walaupun tiada demokrasi mempunyai kebebasan bersuara mutlak, melainkan rakyat mempunyai hak untuk menyatakan diri mereka dalam proses politik, tiada kerajaan boleh dipertanggungjawabkan atas tindakannya.

"Setiap negara meletakkan batasannya sendiri terhadap kebebasan bersuara. Apa yang penting ialah batasan itu tidak disalahgunakan oleh kuasa politik untuk mengehadkan penelitian awam terhadap dasar dan tindakan yang memberi kesan kepada integriti tadbir urus," tambahnya.

Wan Junaidi berkata kebebasan maklumat dan hak untuk mengakses maklumat yang tepat adalah penting sebagai jalan ke hadapan bagi Malaysia.

Dia berkata membuka lebih banyak akses kepada maklumat akan memastikan orang ramai mendapat maklumat yang tepat dan terkini seterusnya mengurangkan penyebaran maklumat dan berita palsu.

“Kementerian saya telah bekerjasama rapat dengan CIJ untuk meneroka kemungkinan perundangan Hak untuk Maklumat di Malaysia.

"Saya dimaklumkan bahawa sesi libat urus telah dijalankan di peringkat persekutuan dan negeri bagi memastikan keputusan dasar itu berasas dan boleh dibentangkan kepada kerajaan untuk diputuskan tidak lama lagi," katanya sambil berjanji menyokong penggubalan undang-undang itu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS