Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas KSN jelaskan sebab dia kata 1MDB untuk 'dana politik' BN

Dasar kerajaan persekutuan dirangka berdasarkan dasar parti pemerintah, menurut bekas ketua setiausaha negara (KSN) Mohd Sidek Hassan.

Memberi keterangan dalam kes rasuah dana 1MDB RM2.28 bilion terhadap Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Sidek yang merupakan saksi pendakwaan ke-19 berkata mesyuarat kabinet disertai menteri daripada parti pemerintah.

Ketika pemeriksaan semula dengan timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram, Sidek berkata ia merupakan sebab dia mengandaikan 1MDB ditubuhkan untuk menyediakan dana politik kepada BN, yang merupakan gabungan pemerintah pada masa itu.

Semalam, dia yang merupakan bekas ahli lembaga penasihat 1MDB berkata mengikut pemahamannya, 1MDB ditubuhkan untuk dijadikan dana politik kepada BN.

Ketika Sri Ram bertanya tentang perbincangan kabinet BN pada masa itu berkaitan 1MDB, Sidek berkata projek yang dibincangkan adalah ntuk "menteri di kawasan mereka", dan menambah "menteri-menteri ini adalah ahli BN".

Sri Ram: Berkaitan isu Kod Etika berkenaan konflik kepentingan, apabila tertuduh iaitu Najib menganggotai Kabinet sebagai perdana menteri, berapa tanggungjawab yang dipegangnya?

Sidek: Dia perdana menteri dan menteri kewangan.

Sri Ram: Kabinet berkaitan dengan perbincangan dalam soal dasar kerajaan, betul?

Sidek: Ya, itulah fungsi Kabinet.

Sri Ram: Bukan tujuan Kabinet untuk membincangkan politik kepartian.

Sidek: Berkenaan dasar parti, saya penjawat awam yang sebenar-benarnya. Dasar kerajaan adalah dasar parti yang memegang kuasa, sama ada BN atau lain-lain.

"Maka dasar kerajaan dirangka daripada parti atau gabungan parti dalam kerajaan. Anda tak boleh pisahkan antara kedua-duanya," kata Sidek lagi.

Ketika Sri Ram bertanya jika ia masih tidak membolehkan menteri menyertai mesyuarat Kabinet berkenaan projek di mana dia ada konflik kepentingan dengannya, Sidek membangkitkan Kod Etika kepadanya.

Dia juga berkata tidak ingat jika Najib pernah menyebut tentang dakwaan hubungan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho, dalam mana-mana mesyuarat Kabinet.

Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa kesalahan dalam 1MDB dilakukan oleh Low Taek Jho dengan restu Najib.

Pihak pembelaan pula mendakwa Najib tidak tahu tentang kesalahan yang berlaku dan penyelewengan didalangi Low dan beberapa individu dalam pengurusan syarikat itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS