Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dzulkefly tak mahu 'flip-flop' meski Zafrul dispekulasi tanding Kuala Selangor
Diterbitkan:  Jun 7, 2022 2:34 PM
Dikemaskini: 6:34 AM

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad tidak akan mengubah rancangan untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 bagi memberi laluan kepada calon yang lebih muda.

Ini meskipun Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memberi gambaran mungkin bertanding di kerusi itu.

"Saya khuatir kalau saya berubah pendirian saya kerana ada calon 'payung terjun' bertaraf menteri yang seolah-olah menyatakan hasrat untuk bertanding, kelak saya akan dituduh 'flip-flop' atau cakap tak serupa bikin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas menteri kesihatan itu berkata dia telah menyatakan hasratnya kepada pemimpin Amanah lebih enam bulan lalu.

Tengku Zafrul, yang dikatakan sudah menjadi ahli Umno, dilaporkan sedang berkira-kira untuk bertanding pada PRU akan datang.

Walaupun terdapat tawaran untuk dia bertanding di Sungai Besar, menteri kewangan itu dilihat tertumpu pada kerusi Kuala Selangor.

Semalam, Zafrul mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan akan menjadikan Kuala Selangor sebagai daerah angkat dan mengumumkan bahawa stesen untuk Laluan Rel Pantai Timur akan dibina di daerah itu di Puncak Alam.

Mengulas perkara itu, Dzulkefly berkata, jelas Zafrul seorang yang "desperado" (terdesak).

"Sudah ada tanggapan umum bahawa beliau (Zafrul) amat cenderung dengan budaya 'cash is king' (wang adalah segala-galanya) juga adalah amat mengkhuatirkan dan terdedah kepada 'moral hazard' dalam suasana negara bercita-cita membenteras segala amalan salah guna kuasa dan rasuah.

"Saya optimis rakyat dan pengundi Kuala Selangor tidak akan mudah 'digula-gulakan' dengan tindakan sogokan politik dan membeli sokongan politik seperti ini," katanya.

Pemimpin Amanah itu menambah bahawa Zafrul sepatutnya menumpukan pada janji untuk menubuhkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Lembah Pantai pada tahun 2017 sebelum terburu-buru menabur janji-janji yang baru.

Lembah Pantai juga pernah dispekulasikan menjadi kerusi yang akan ditandingi Zafrul.

Zafrul dahulunya seorang jurubank dan berkhidmat sebagai CEO CIMB antara 2015 dan 2020.

Dia meletakkan jawatannya untuk menjadi senator dan menteri kewangan di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS