Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM UK Boris Johnson terselamat undi tak percaya

GLOBAL | Perdana Menteri Britain Boris Johnson pada Isnin terselamat daripada undi tidak percaya dalam kalangan ahli parlimen Konservatif, sekali gus menjamin kedudukannya.

Johnson menang dengan sokongan 211 daripada 359 ahli parlimen, menurut keputusan yang diumumkan pengerusi kumpulan parlimen Parti Konservatif, Jawatankuasa 1922, Graham Brady.

"Saya mengumumkan bahawa ahli parlimen mempunyai keyakinan terhadap perdana menteri," kata Brady, lapor Xinhua.

Usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Johnson tercetus selepas bilangan ahli parlimen menyerahkan surat tidak percaya kepada Brady mencecah 54, atau 15 peratus anggota Konservatif.

Dengan keputusan berpihak kepadanya pada Isnin, Johnson tidak akan berdepan satu lagi usul undi tidak percaya dalam tempoh setahun, seperti termaktub dalam peraturan Parti Konservatif.

Perdana menteri itu dibelenggu skandal "partygate" sejak beberapa bulan lalu, yang melibatkan Johnson dan kakitangannya di Downing Street semasa sekatan pergerakan COVID-19 pada 2020 dan 2021.

Dia didenda polis Britain pada April kerana menghadiri satu parti, menjadikannya perdana menteri pertama dalam sejarah negara menerima hukuman kerana melanggar undang-undang.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS