Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Afdlin buat laporan polis terhadap j'kuasa pemilihan PKR
Diterbitkan:  Jun 7, 2022 11:32 AM
Dikemaskini: 3:32 AM

Pelakon dan pengarah Afdlin Shauki membuat laporan polis terhadap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR atas dakwaan wujudnya penipuan dalam pemilihan parti itu.

Menurut laporan Free Malaysia Today, Afdlin membuat laporan di Balai Polis Pudu semalam.

Dia mendakwa JPP gagal bertindak terhadap aduan yang dilaporkan sepanjang pemilihan dan terdapat banyak tindakan jawatankuasa yang "menimbulkan syak wasangka" dan "terang-terang salah".

“Kami sudah buat laporan kepada JPP sebelum ini tapi tidak ada maklum balas, yang ada senyap dan sunyi, oleh itu kami buat laporan polis untuk lakukan siasatan," katanya seperti dipetik.

Antara lain, Afdlin mendakwa terdapat kertas undi yang hilang semasa proses kiraan untuk cabang Setiawangsa, selain proses kiraan tidak didedahkan dan dibuat tanpa wakil calon.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Afdlin kecundang dalam persaingan jawatan ketua cabang Setiawangsa, apabila meraih 372 undi berbanding penyandang, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mendapat 482 undi.

'Kenakan tindakan disiplin'

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah Razeef Rakimin menggesa parti mengambil tindakan disiplin terhadap Afdlin atas tindakannya itu.

"Afdlin telah mencalarkan imej parti dan tindakan dia melaporkan parti ke polis seharusnya menyebabkan beliau dikenakan tindakan disiplin.

"Afdlin sepatutnya belajar disiplin dalam organisasi terutama parti politik. Sepatutnya dalam tempoh setahun sebagai anggota parti beliau sudah matang apatah lagi bila dia cuba untuk menjadi pemimpin dalam PKR," katanya dalam kenyataan.

Razeef berkata, JPP telah memberi banyak penjelasan terhadap dakwaan yang dibuat berkaitan pemilihan dan pada masa ini masih menjalankan pengiraan untuk undi ragu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS