Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tahlil buat ibu, tak sempat lihat anak jadi warga M'sia

Hadirin tidak dapat menahan sebak dalam majlis tahlil untuk seorang ibu warga Malaysia yang meninggal dunia sebelum melihat anak-anaknya menjadi rakyat negara asalnya telah diadakan di Tasik Aman Jaya hari ini

Majlis anjuran Family Frontiers itu bagi memperingati Allahyarhamah Sabeena Syed Jafer, yang meninggalkan empat orang cahaya mata.

Dia telah memperjuangkan anak-anaknya yang dilahirkan di luar negara untuk menjadi warganegara Malaysia sejak mereka kembali ke tanah air pada 2008.

Menurut anak perempuannya, Niba Zaidi yang berusia 24 tahun, Sabeena mengalami kematian mengejut ketika menjalani pembedahan angioplasti bagi merawat sumbatan di jantungnya pada 29 Mac lalu.

“Hasrat terakhirnya ialah agar kami mendapat kerakyatan. Itu selalu menjadi impiannya.

“Orang ramai sentiasa cuba memberi cadangan, ‘Mengapa anda tidak tinggal di UK atau Pakistan?’ (tetapi) dia tidak pernah menyukainya.

“(Dia akan berkata) ‘Malaysia adalah rumah saya, kewarganegaraan untuk anak-anak saya adalah hak saya’.

"Ibu saya memberi kami begitu banyak kasih sayang, hati kami benar-benar remuk," kata Niba, yang bekerja sebagai pengurus pemasaran.

Menurut Niba, ibunya yang berusia 61 tahun itu mahu menjalani pembedahan arteri itu supaya dia berada dalam keadaan sihat ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama anak dan cucu awal tahun ini.

Bagaimanapun, hasratnya untuk bertemu semula dengan anak-anaknya pada hari raya tidak kesampaian kerana pemergiannya.

Sabeena, suaminya - yang berasal dari Pakistan - dan empat anaknya berpindah ke Malaysia 14 tahun lalu, selepas suaminya bersara dari Bank Dunia.

Sekembalinya mereka, Sabeena tidak dapat memperoleh kewarganegaraan untuk tiga anak pertamanya - yang mengakibatkan penghijrahan tiga anaknya.

Sebelum wabak Covid-19, suri rumah itu sering melakukan perjalanan antara United Kingdom, Pakistan dan Malaysia untuk menziarahi anak-anaknya yang tinggal di negara yang berbeza, kerana ketidakmampuan mereka untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia.

"Ia menjejaskan kesihatannya," kata Niba, yang merupakan anak bongsu daripada empat mereka.

Menurut Niba, dia masing-masing memohon kerakyatan dan pemastautin tetap Malaysia sebanyak dua kali, tetapi setiap permohonan ditolak tanpa sebarang penjelasan.

Dia berkongsi perasaan mereka sebaik Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pada 9 Sept tahun lepas bahawa wanita Malaysia, yang berkahwin dengan lelaki asing, mempunyai hak yang sama seperti lelaki Malaysia yang berkahwin dengan wanita asing, dari sudut hak kewarganegaraan kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Gambar fail.

"Apabila ibu-ibu menang, kami menangis dan berpelukan. Selepas 13 tahun, kami (fikir kami) akhirnya mempunyai peluang - dan kemudian, kerajaan merayu keputusan mahkamah itu," katanya.

Acara hari ini berlangsung selama dua jam dalam cuaca mendung dan dihadiri kira-kira 70 orang, termasuk keluarga yang terjejas oleh isu serupa dan kumpulan masyarakat sivil seperti Pertubuhan Bantuan Wanita dan Pergerakan Peguam Muda.

Turut hadir ahli parlimen dan wakil parti politik seperti Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail dan Aini Haziqah dan Dian Lee dari Muda (gambar, bawah).

Pada satu ketika, kedengaran hadirin melaungkan "Saya Juga Anak Malaysia".

Majlis ini diadakan sempena kempen #SayaJugaAnakMalaysia dan kempen semasanya #ManaDokumenKami yang menggesa kerajaan menghormati dan mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kerajaan sedang merayu keputusan mahkamah itu.

Dilaporkan pada 29 Dis lalu, berikutan keputusan Mahkamah Tinggi yang penting, ibu-ibu Malaysia akhirnya berjaya mendaftarkan anak mereka sebagai warganegara dengan Jabatan Pendaftaran Negara.

Ini berlaku selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan kerajaan persekutuan untuk menangguhkan keputusan mahkamah rendah bahawa ibu Malaysia mempunyai hak untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS