mk-logo
Berita
'100 juta data peribadi dicuri' - MP gesa Putrajaya segera pinda akta
Diterbitkan:  Jun 6, 2022 6:44 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Putrajaya digesa meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) untuk menghentikan kebocoran data, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata dalam tempoh masa lima tahun kebelakangan ini, dianggarkan lebih 100 juta set data peribadi di Malaysia dipercayai dicuri daripada syarikat-syarikat atau badan-badan di bawah bidang kuasa pelbagai kementerian.

Bagaimanapun, Fahmi yang juga ahli parlimen Lembah Pantai berkata berdasarkan laporan media, cuma satu kes kecurian data peribadi berprofil tinggi telah dibawa ke mahkamah sehingga hari ini.

Katanya, ia melibatkan kes 30 juta data peribadi pelanggan Malindo Air.

Gambar hiasan.

Menurut Fahmi, kes-kes kecurian berprofil tinggi melibatkan lebih 70 juta data peribadi yang lain sama ada masih belum dibawa ke mahkamah, atau hasil siasatan mahu pun tindakan kementerian atau agensi bertanggungjawab tidak diketahui umum.

"Keadaan ini tidak baik untuk rakyat mahupun ekonomi Malaysia.Ke mana perginya semua data yang telah dicuri ini?

"Mengapa kecurian data masih kerap berlaku? Adakah data peribadi yang dicuri ini disalah guna penjenayah bagi tujuan penipuan (scam) atau aktiviti jenayah lain? Hal ini amat merisaukan," katanya.

Jelas Fahmi, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini pada 12 Februari 2020, melalui menteri komunikasi dan multimedia pada ketika itu Gobind Singh Deo telah memaklumkan bahawa Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) akan dikaji semula.

Namun, setelah Langkah Sheraton serta bertukarnya menteri komunikasi dan multimedia, status kajian semula serta cadangan-cadangan pindaan terhadap Akta 709 masih menjadi tanda tanya.

Sehubungan itu, Fahmi menggesa Putrajaya mendedahkan jika kerajaan hari ini sedang menjalankan kajian semula undang-undang untuk memastikan perlindungan data peribadi.

“Menteri Komunikasi dan Multimedia (Annuar Musa) perlu menggunakan peluang sidang parlimen bermula 18 Julai nanti untuk membentangkan pindaan kepada Akta 709.

“Insya-Allah saya juga akan membawa satu Rang Undang-Undang Persendirian bagi tujuan meminda Akta 709 pada sidang Parlimen yang sama,” kata Fahmi lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS