Peserta himpunan Reunion Veteran pagi tadi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap isu kebajikan pesara tentera yang didakwa diabaikan pihak berkuasa.
Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Visu Nathan, 61 memberitahu Malaysiakini dia tetap bersemangat hadir himpunan itu meskipun dengan keadaan dirinya yang kelainan upaya.
Kaki Visu tempang akibat terkena jerangkap samar ketika era memerangi pengganas komunis dahulu.
“Banyak anggota tentera yang miskin sangat. Sudah sekian lama Malaysia maju, sampai itu saja taraf kita (veteran).
“Kawan-kawan dalam skuadron saya sampai nak mati tidak dapat apa. Itu sebab dengan semangat juang yang tersisa saya datang bersuara bersama veteran hari ini.
“Kami mahu veteran setaraf dengan awam, mereka dapat hidup mewah, mengapa kita kena merempat,” ujar pesara tentera yang pernah berkhidmat dalam Unit 5 Rejimen Renjer Diraja itu.
Tambahnya lagi, masyarakat hari ini lena dibuai keamanan yang diperoleh sehingga melupakan siapa yang membantu memperjuangkannya dahulu.
“Sekarang semua aman. Siapa yang bawa aman? Veteran yang sekarang ini juga.
Turun naik Mindef, menteri silih ganti
“Dulu boleh ke keluar pukul 2 atau 3 pagi tanpa diserang hendap oleh komunis. Sekarang dah tak perlu risau semua itu. Langsung tak dikenang budi kami ini,” luahnya.
Sementara itu Asri Hussin, 62 pula berkata dirinya kecewa merasakan pengorbanan pasukan tentera dahulu tidak dihargai sewajarnya.
“Hak veteran memang selama ini dihanyutkan. Kami cuma mahu dihormati sebagai bekas pasukan keselamatan negara, bukan mahu disembah.
“Kami pernah meronda hutan, menentang komunis, bersabung nyawa bertempur, ditembak, terkena jerangkap samar, tetapi mengapa tiada penghargaan untuk jasa kita,” kata pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu.
Asri yang berasal dari Jitra, Kedah menegaskan tujuan utama Reunion Veteran ini adalah untuk memberikan peringatan kepada Kementerian Pertahanan (Mindef) agar diselesaikan isu kebajikan veteran ini sesegera mungkin.
“Kami sudah turun naik berjumpa Mindef, menteri bertukar menteri, katanya hendak dikaji isu kita ini tetapi tak akan sampai sekarang masih dikaji. Ingat ini kaji cuaca ke,” katanya berseloroh.
Pesara tentera, Kasim Abdullah, 65, berkata perlunya diwujudkan lembaga pengampunan kerana ia adalah hak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti yang termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Sedangkan ahli politik mampu dibersihkan nama, dikompang, didendang dan dibentangkan karpet merah manakala bekas petualang komunis boleh diberikan peluang kedua.
Pencen tak berbaloi
“Mengapa bekas tentera yang bertempur siang dan malam, pagi dan petang, hujan dan panas, tidak ada langsung pengampunan untuk mereka. Sedih dan pilu rasa,” ujarnya.
Menurut Ahli Jawatankuasa Reunion Veteran, Mejar (B) Mior Rosli Mior Rosdi, dari tahun 1974 ketika dia mula berkhidmat dengan tentera, tiada satu pun kes di mahkamah tentera yang pernah diberikan pengampunan.
Sementara itu, bekas 74 Batalion Kor Perkhidmatan Diraja Kem Sungai Besi, Ganesan Ramayah (gambar, bawah) yang kakinya terpaksa dipotong kerana penyakit kencing manis, berkata jurang pencen di antara mereka yang telah bersara dan mereka yang baru masuk adalah sangat besar.
“Pencen saya tak berbaloi dengan orang yang baru masuk. Pencen saya sekarang tak sampai RM 1,500. Tetapi pencen orang baru yang setaraf dengan pangkat saya dah sampai RM 3,000 lebih.
“Pencen yang sedia ada sekarang memang tak cukup untuk saya. Saya hidup memang susah. Ubat-ubatan di hospital untuk penyakit saya pun memakan kos lagi. Saya ada anak bini nak sara.
“Nak cari kerja pun majikan tak nak ambil sebab saya Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya sebak.
Ganeson berkata dia pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak tujuh kali tetapi semuanya ditolak kerana dikatakan mempunyai piring Astro dan sebuah kereta di rumah.
“Itu semua saya beli sewaktu saya masih berkhidmat dalam tentera dulu. Sekarang sudah berbeza,” katanya.
Antara tuntutan yang dibangkitkan Reunion Veteran hari ini adalah agar pencen tentera yang bersara sebelum 2013 diselaraskan, serta hak untuk menerima pencen setelah sekurang-kurangnya 10 tahun berkhidmat.
Menurut mereka, di bawah skim sekarang, kebanyakan daripada lebih 300,000 pesara tentera hidup susah dan termasuk dalam kategori B40.
Kira-kira 1,500 pesara tentera dari seluruh negara berkumpul di Tugu Negara hari ini bagi menyuarakan rasa tidak puas hati, terutama dalam isu kebajikan terhadap mereka.
Himpunan Reunion Veteran bermula seawal lapan pagi sehingga tengah hari tadi, dengan peserta yang rata-ratanya terdiri daripada kalangan warga emas teguh berdiri di bawah panas matahari.