Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pengampunan kes rasuah kecil akan sebabkan berlaku kes rasuah besar'

Bekas menteri kewangan II Johari Abdul Ghani tidak begitu berkenan dengan cadangan bekas jurubank Nazir Razak, untuk memberi pengampunan kepada kes-kes rasuah lampau yang tidak serius.

Ketua Umno Wilayah Persekutuan itu memberi amaran akibat pemberian pengampunan kes rasuah kecil boleh membawa kepada pelakuan kes yang lebih besar.

"Tidak sepatutnya ada sebarang pengampunan bagi individu yang melakukan rasuah dan mereka harus dihukum dengan hukuman yang mencerminkan kesalahan mereka.

"Mengapa perlu ada pengampunan bagi jenayah rasuah sedangkan tiada pengampunan bagi kesalahan lain di bawah Kanun Keseksaan?

"Sepatutnya tidak ada perbezaan sama ada perbuatan rasuah itu serius atau tidak. Semua rasuah itu serius tanpa mengira darjat. Rasuah, besar atau kecil, membawa kepada kemerosotan sistem sesebuah negara dan ia dianggap sebagai kerugian kepada negara," katanya.

"Sekiranya kita membenarkan perbezaan antara rasuah serius dan tidak serius, ini hanya akan membawa kepada pelakuan rasuah yang lebih besar kerana semua kesalahan serius bermula daripada pelakuan kesalahan yang lebih kecil dan kurang serius," katanya.

"Kita juga memerlukan agensi penguatkuasa yang berkesan yang melaporkan terus kepada parlimen. Kita mesti memastikan tiada pendakwaan terpilih atau double standard," tambah bekas Ahli Parlimen Titiwangsa itu.

“Penguatkuasaan dan tindakan tegas terhadap rasuah sudah pasti merupakan jalan ke hadapan untuk memastikan negara kita bebas daripada rasuah,” tambahnya.

Ketika menghadiri satu majlis di Pusat Dagangan Dunia KL pada Jumaat, Nazir, adik kepada bekas perdana menteri Najib Razak, ditanya perkara yang akan dilakukannya untuk mengatasi masalah sistemik negara, termasuk rasuah, sekiranya berkuasa.

Nazir mencadangkan antirasuah seperti dilaksanakan di Hong Kong pada 1970-an.

DIa merujuk kepada kaedah yang diperkenalkan oleh Hong Kong pada tahun 1970-an untuk menangani rasuah yang berleluasa di bandar pelabuhan itu, di mana kerajaannya menawarkan pengampunan kepada kesalahan sebelum 1977 tetapi menggunakan pendekatan yang tegas terhadap kesalahan selepas itu.

"Perkara kedua yang saya ingin tangani ialah rasuah, bagaimana untuk membasmi rasuah (di negara ini). Terdapat model di Hong Kong pada 1970-an. Mereka merombak sistem, menawarkan pengampunan, dan 'shoot to kill' (hukuman tegas).

"Apabila sudah ramai orang yang terlibat (dalam rasuah), anda mesti ada pengampunan. Jika tidak, semua orang akan menghalang (usaha anda untuk membersihkan sistem)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS