Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MOF jadikan Kuala Selangor 'daerah angkat' lulus stesen ECRL Puncak Alam
Diterbitkan:  Jun 6, 2022 11:28 AM
Dikemaskini: 3:57 AM

Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan hasratnya untuk menjadikan Kuala Selangor sebagai 'Daerah Angkat' Kementerian Kewangan.

Menteri kewangan itu berkata ia agar daerah it dapat dimajukan semaksimum mungkin seiring dengan projek pembinaaan stesen Jajaran Utara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam.

“Saya secara peribadi sememangnya sedikit sentimental dengan daerah Kuala Selangor ini.

Memang banyak potensi tempatan yang boleh dikembangkan dan diketengahkan,” katanya ketika berucap di Majlis Kenduri Rakyat Kuala Selangor di Puncak Alam malam tadi, seperti dipetik Bernama.

Bagaimanapun, Zafrul berkata kementeriannya tidak memihak kepada mana-mana daerah tertentu di negara ini.

“Apabila anda harus membuat sesuatu dasar, adalah penting untuk kita memahami keadaan di bawah, oleh kerana itu saya telah menjelajah ke seluruh pelusuk Malaysia dan isu yang paling utama sekarang adalah memastikan usaha pemulihan ekonomi terus bergerak di landasan yang telah ditetapkan,” katanya.

Ditanya sama ada dia mungkin akan bertanding di parlimen Kuala Selangor pada PRU akan datang, Zafrul berkata tumpuannya kini hanya kepada Kementerian Kewangan.

Banyak spekulasi timbul sebelum ini bahawa Zafrul sedang menimbang untuk bertanding di kerusi parlimen itu.

Bagaimanapun Ketua Umno Kuala Selangor dilaporkan telah bertindak menghalang kepemimpinan bahagian tersebut untuk terlibat dengan program Zafrul di situ.

Mengenai stesen ECRL, Zafrul berkata pelbagai pihak telah menemuinya dan menyuarakan hasrat penduduk agar membina stesen ECRL di Puncak Alam.

“Oleh yang demikian, saya telah mohon pihak berkaitan untuk memberi pertimbangan rapi terhadap permintaan stesen ECRL ini dan Alhamdulillah ia telah diluluskan dan insya-Allah akan ada stesen ECRL di Puncak Alam ini," katanya lagi.

Menurut laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar untuk projek ECRL, stesen Puncak Alam disenaraikan sebagai "sementara", bersama-sama dengan stesen Kapar.

ECRL merupakan projek infrastruktur terbesar Malaysia - pada masa ini diunjurkan menelan belanja RM50 bilion - dan akan menghubungkan pantai timur Semenanjung Malaysia dengan Pelabuhan Klang.

Segmen ECRL Lembah Klang akan mengikut jajaran utara, mengelakkan kebanyakan kawasan berpenduduk padat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS