Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nazir patut duduk diam-diam, biar SPRM buat kerja - Nur Jazlan

Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed menyarankan Nazir Razak, adik kepada bekas perdana menteri Najib Razak, "duduk diam-diam" dan membiarkan SPRM melakukan tugas menangani rasuah.

Ini selepas Nazir mencadangkan dasar antirasuah seperti diamalkan di Hong Kong pada 1970-an, yang memberi pengampunan kepada kesalahan rasuah kecil sebelum 1977, dan hukuman tegas terhadap kesalahan selepas itu.

“Dia patut duduk diam-diam saja kerana dia merupakan individu yang diberikan peluang menjadi tokoh korporat di bawah kerajaan BN yang ditolak rakyat pada tahun 2018.

"Dia juga terpalit dengan kes dana 1MDB tapi tidak didakwa oleh kerajaan PH (Pakatan Harapan) atau PN (Perikatan Nasional).

"Biar SPRM jalankan tugas tanpa gangguan," katanya Nur Jazlan, yang juga bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan bekas timbalan menteri dalam negeri melalui mesej teks kepada Malaysiakini.

Ketika menghadiri acara di Pusat Dagangan Dunia KL pada Jumaat, Nazir ditanya perkara yang akan dilakukannya sekiranya berkuasa untuk mengatasi masalah sistemik negara, termasuk rasuah.

"Perkara kedua yang saya ingin tangani ialah rasuah, bagaimana untuk memecahkan rasuah (di negara ini). Terdapat model di Hong Kong pada 1970-an. Mereka merombak sistem, menawarkan pengampunan, dan 'shoot to kill' (hukuman tegas)," kata Nazir.

Dia berkata bahawa pengampunan untuk jenayah lampau mungkin boleh dilakukan jika ia "tidak serius", agar usaha membendung rasuah yang berleluasa tidak disabotaj.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS