Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu banjir di KL: Shahidan jemput Lip Eng datang tengok beg pasir

Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim menjemput Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng datang sendiri melihat beg pasir yang ditempatkan di lokasi tertentu di ibu negara sebagai langkah jangka masa pendek bagi menangani isu banjir.

“Saya menjemput Lim sila datang dan melawat semua tempat yang kita pasang sandbag (beg pasir)… Baru boleh bercakap (kritik).

“Kalau bercakap (tapi) tak tengok.. kena mai (datang) tengok sendiri. Saya akan menjemput semua kawan-kawan yang rasa doubt (ragu-ragu) dengan apa yang kita buat, kena melihat sendiri,” katanya kepada Malaysiakini.

Shahidan berkata demikian sebagai menjawab kritikan Lim yang meminta supaya kerajaan berhenti menaburkan janji berhubung penyelesaian masalah banjir di Kuala Lumpur sebagai cadangan yang sentiasa “dalam kajian.”

“Saya tak sebut ‘dalam kajian’. Dia kena baca statement (kenyataan) saya tu. Sebab dia ni mungkin dia tak baca (kenyataan), jadi dia seronok nak komen,” tambahnya.

Semalam, Lim berkata pihak kerajaan banyak menjanjikan penyelesaian-penyelesaian bagi masalah rakyat, tetapi sehingga kini, kebanyakan penyelesaian tersebut kekal sebagai cadangan yang sentiasa dalam kajian.

Lim merujuk kepada kenyataan Shahidan pada 3 Jun, yang mengatakan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membina terowong penyimpanan air bawah tanah berkapasiti tinggi bagi mengatasi isu banjir kilat di ibu negara.

Mengulas lanjut, Shahidan menegaskan bahawa langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menangani masalah banjir di ibu negara bukan sekadar cakap kosong.

Jelasnya, ia mempunyai tiga pendekatan iaitu jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Dia menjelaskan bahawa pendekatan jangka pendek merupakan pengepaman air, pengawasan di kawasan terlibat dan meletakkan beg pasir di kawasan terlibat dengan limpahan air sungai, di mana ia telah dilaksanakan serta-merta.

Manakala pembinaan kolam setempat untuk kawasan penduduk sebagai pendekatan jangka masa sederhana dan terowong simpanan air bawah tanah sebagai langkah jangka masa panjang.

“Ini (terowong simpanan air bawah tanah) baru di peringkat engagement (libat urus). Iyalah, bila banjir berlaku dan saya telah ditanya soalan, saya beritahulah itu perancangan.

“Tapi maaf cakap, di bawah kerajaan mereka (Pakatan Harapan) dahulu, banjir kilat berlaku banyak kali dan banjir berlaku beberapa kali tapi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang ini telah diperkenalkan dan saya sendiri telah monitor (pantau) benda ini. Saya monitor benda ni dari semasa ke semasa,” katanya.

Shahidan juga berkata usaha untuk mengatasi banjir kilat di ibu negara pula bukan sahaja perlu diletakkan di bawah usaha DBKL tetapi juga rakyat dan peniaga.

“Usaha untuk nak atasi banjir kilat ni bukan (perlu dari) DBKL saja… rakyat, peniaga tu penting. Jangan buang sampah. Sekarang ni kita bagi kawasan bebas berniaga, mereka juga bebas membuang sampah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS