Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembalakan Hutan Simpan Nenggiri: Kenapa belum ada penjelasan? - Husam

Badan bukan kerajaan (NGO) Save Kelantan hari ini menuntut penjelasan daripada kerajaan negeri Kelantan dan Jabatan Hutan negeri berhubung dakwaan pembalakan secara terbuka di Hutan Simpan Nenggiri seperti yang didedahkan sebelum ini.

Pengerusinya, Husam Musa berkata kerajaan dan jabatan hutan di negeri terbabit tidak boleh berdiam diri berhubung perkara itu.

"Saya tunggu penjelasan daripada mereka, apa yang dia nak kata. Saya buat hantaran berhubung dakwaan ini hari Rabu dan hari ini dah hari Sabtu.

"Jadi, dah empat hari belum ada sebarang penafian atau pun respons daripada Jabatan Hutan atau kerajaan negeri Kelantan,” kata Husam dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Husam melalui beberapa hantaran di media sosial sebelum ini mendakwa berlaku pembalakan di kompartmen 26 di Hutan Simpan Kekal Nenggiri.

Menurut Husam, kompartmen 26 diwartakan sebagai hutan dara perlindungan namun diluluskan untuk pembalakan kepada anak syarikat kerajaan negeri Kelantan, Daulah Najah Sdn Bhd.

Exco Kelantan dan Ahli Lembaga Pengarah Daulah Najah Hanipa Ahmad ketika dihubungi berkata tidak timbul isu pembalakan haram di kawasan itu.

Jelasnya, tanah berkenaan termasuk dalam kawasan empangan Nenggiri dan terdapat kebenaran untuk membawa keluar balak dari kawasan itu.

“Tiada masalah penerokaan haram. Kalau penerokaan haram polis semua boleh tangkap selalu,” katanya.

Manakala Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan, Abdul Khalim Abdul Samah yang dihubungi enggan mengulas lanjut dakwaan Husam itu.

"Maaf, tak boleh. Kerajaan negeri tak benarkan saya bercakap apa-apa tentang isu hutan," katanya kepada Malaysiakini.

‘Kecurian’ balak

Husam sebelum ini turut mendakwa berlaku ‘kecurian’ balak di kawasan bersebelahan, iaitu kompartmen 25, yang melibatkan anggaran kerugian sehingga RM5 juta.

Bagaimanapun, Husam mendakwa, balak yang terletak di sebelah Matau Daulah Najah itu kini telah disita oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia

"Siapa yang mencuri ini sangat mudah, kerana kalau kita ambil gambar jentera daripada jentera tersebut pun kita dah tahu siapa pemiliknya . Walaupun kadang-kadang jentera ini disewa tetapi penyewa itu dapat dikesan.

"Kemudian, balak yang besar ini dia ada tanda, ada tukul. Jadi, tukul itu adalah nombor lesen. Siapakah pemilik lesen yang ditukul di balak itu? Kalau dia tak ada tukul dia tak boleh keluar kerana dia ada pemeriksaan di balai hutan. Walaupun ia dicuri, tukang yang mencuri itu akan tukul yang dia dapat lesen

"Jadi, boleh tahu siapa yang curi ini dan sepatutnya kerajaan negeri membuat siasatan segera, menafikan atau mengesahkan laporan saya atau dia buat kenyataan media mengenai perkara ini kerana nilainya besar sekitar RM5juta paling kurang," katanya

Tambah Husam, Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob wajar mendedahkan kepada rakyat Kelantan berapa jumlah balak yang telah dikeluarkan dari enam kompartmen yang diperoleh oleh Daulah Najah dan berapakah hasil daripada pembalakan tersebut.

“Kerajaan negeri Kelantan juga perlu menjelaskan pendapatan Daulah Najah Sdn Bhd dari konsesi-konsesi balak yang lain dan juga konsesi lain seperti perlombongan dan kuari sejak ia ditubuhkan pada 2017,” katanya.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan Husam itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS