mk-logo
Berita
'Setuju Nazir - ampun pesalah rasuah, tapi bukan kes sebesar 1MDB'

Ahli parlimen pembangkang memberikan maklum balas terhadap cadangan dasar antirasuah ‘shoot to kill’ yang dikemukakan oleh adik kepada bekas perdana menteri Najib Razak, iaitu Nazir, yang melibatkan pengampunan seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan Hong Kong pada 1970an.

Sebahagian daripada ahli-ahli parlimen yang dihubungi Malaysiakini terbuka mengenai cadangan itu manakala yang lain berkata pengampunan tidak sepatutnya diberikan dalam kes rasuah di Malaysia.

Ketika dihubungi, Ahli Parlimen PKR Sungai Buloh R Sivarasa (gambar, bawah) berkata pengampunan boleh diberikan terhadap kes kecil tetapi bukan kepada kes besar seperti skandal 1MDB.

"Saya bersetuju bahawa pelaksanaan Hong Kong patut dicontohi. Hong Kong berjaya mengurangkan rasuah yang berleluasa kemudian ke tahap minimum hari ini.

"Mereka memperkenalkan undang-undang yang baik dan institusi bebas bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih. Penguatkuasaan adalah serius, berkesan dengan hukuman pencegahan," katanya.

“Apa yang penting ialah penguatkuasaan bebas yang berkesan," katanya.

"Saya juga akan bersetuju dengan pendekatan pengampunan untuk kes-kes kecil berkaitan rasuah yang melibatkan jumlah wang yang kecil.

“Tetapi bukan untuk rasuah berskala besar seperti 1MDB," katanya.

Semasa menjawab soalan pada majlis memperkenalkan bukunya semalam, Nazir berkata terdapat dua perkara yang akan dilakukannya segera untuk menangani masalah sistemik negara, termasuk rasuah.

Dia merujuk kepada kaedah yang diperkenalkan oleh Hong Kong pada 1970an untuk menangani rasuah yang berleluasa di pulau berkenaan pada waktu itu.

Kerajaan Hong Kong ketika itu menawarkan pengampunan kepada kesalahan sebelum 1977, tetapi menggunakan dasar ‘shoot to kill’ atau tindakan yang tegas terhadap kesalahan rasuah pada masa akan datang.

Sementara itu, Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai Fahmi Fadzil turut melihat cadangan Nazir dari sudut positif.

SPRM letak bawah parlimen

"Saya rasa prinsip itu bagus. Kita kena menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan perbaikinya (sistem sedia ada).

"Salah satu perkara utama sekarang, selain dasar pengampunan dan ‘shoot to kill’, saya bimbang dengan kebebasan SPRM.

“SPRM tidak sepatutnya duduk di bawah Jabatan Perdana Menteri, tetapi ia bertanggungjawab kepada parlimen," katanya.

"Kedua, tidak cukup jika kita hanya lihat pada dasar 'shoot to kill'. Kita perlu menangani isu asas seperti pembiayaan politik dan dana pembangunan kawasan pilihan raya serta pengisytiharan aset oleh ahli parlimen," kata Fahmi (gambar, bawah)

Walaupun Sivarasa dan Fahmi kelihatan terbuka mengenai cadangan itu, Ahli Parlimen DAP Kepong, Lim Lip Eng menyoal mengenai nasib warga yang mencuri atas desakan hidup berbanding pesalah rasuah.

"Individu yang dipaksa mencuri untuk mengisi perut ahli keluarga mereka dijatuhkan hukuman penjara selama berbulan-bulan.

"Mereka tidak dipertimbangan untuk diberikan pengampunan,” katanya.

Katanya, pengampunan tidak seharusnya diberikan dalam kes rasuah kerana semua orang sedia maklum bahawa rasuah adalah jenayah di negara ini.

Perjelas, elak putar belit

Lim juga menggesa Nazir memberikan penjelasan mengenai cadangan pengampunannya supaya kenyataannya tidak diputarbelitkan.

"Adakah dia mencadangkan kerajaan menawarkan pengampunan kepada pesalah rasuah yang jenayahnya dilakukan sebelum pilihan raya umum lalu, atau yang terbaik sebelum pilihan raya akan datang?

"Dia perlu jelas mengenai cadangannya supaya ia tidak diputar belit oleh pengkritiknya," kata Lim.

Lim bertanya jika Nazir merujuk kepada ahli politik dari Umno.

Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang Hassan Karim (gambar, atas) berkata tidak perlu untuk Malaysia mencontohi Hong Kong dalam membanteras rasuah, termasuk memberikan pengampunan bagi jenayah lampau.

“Lakukan reformasi saja terhadap SPRM yang ada sekarang, antaranya pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM hendaklah mendapat kelulusan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen terlebih dahulu, kemudian perdana menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong.

“Laporan Tahunan SPRM dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat Dewan Negara,” katanya.

Dia juga menggesa supaya Jawatankuasa Pilihan Khas bersama berkenaan Antirasuah yang melibatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara segera dibentuk.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS