Kerajaan perlu berhenti menjanjikan penyelesaian masalah banjir di Kuala Lumpur sebagai cadangan yang senantiasa “dalam kajian," kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.
Ini berikutan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim berkata kajian kebolehlaksanaan sedang dijalankan untuk membina terowong penyimpanan air bawah tanah berkapasiti tinggi bagi mengatasi isu banjir kilat di ibu negara.
"Sebelum ini pihak kerajaan banyak menjanjikan solusi-solusi bagi menyelesaikan masalah rakyat namun sehingga ke hari ini kebanyakan solusi-solusi ini kekal sebagai cadangan yang senantiasa dalam kajian," kata Lim pada satu kenyataan hari ini.
Lim (gambar, bawah) berkata kerajaan telah pun digesa untuk tidak membenarkan projek pembangunan berhampiran kolam takungan banjir tetapi saranan itu tidak diendahkan.
Shahidan telah mengesahkan projek pembangunan berhampiran dua kolam takungan banjir di ibu negara tetapi menegaskan bahawa ia sekadar "di pinggiran."
Lim berkata cadangan terowong simpanan air banjir bawah tanah itu tidak dirundingkan terlebih dahulu dengan penduduk setempat dan pihak berkepentingan.
"Menteri Wilayah Persekutuan diseru untuk mengusahakan komunikasi melalui sesi “town hall” bersama penduduk ibu kota serta badan-badan terlibat.
"Komunikasi-komunikasi khusus seperti ini penting supaya bukan sahaja masalah banjir dapat dikenal pasti, permasalahan khusus dari pelbagai pihak juga dapat diketenghahkan.
"Selain itu, pihak kementerian beliau juga diseru untuk menyatakan bajet untuk projek tersebut serta apakah projek tersebut akan diberikan melalui tender terbuka atau tidak.
"Budaya merangka cara dari bilik berdingin hawa perlu dihentikan, angkat kaki dan libatkan diri di dalam situasi," tegas Lim lagi.