Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakar ekonomi tak setuju GST dilaksanakan semula

Pakar ekonomi tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Prof Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata meskipun cukai tersebut pernah dilaksanakan namun ia tetap memerlukan kajian kewangan dari segi potensi produktiviti cukai terbabit.

"Apabila kita mahu memperkenalkan semula sesuatu cukai kita kena buat kajian atau maklum balas, apa pandangan peniaga, apa pandangan pengguna, pentadbir cukai - semua itu perlu dikaji.

"Kemudian kita juga perlu buat kajian kewangan dari segi apakah potensi produktiviti cukai ini.

"Walaupun GST adalah cukai yang diiktiraf sangat cekap dan berupaya mencapai banyak matlamat tetapi ia bergantung kepada situasi atau pun suasana apabila ia diperkenalkan," katanya kepada Malaysiakini.

Sebagai contoh, kata Barjoyai, di Filipina GST menyebabkan pemberontakan sekali gus menyebabkan penggunduran presidennya.

Di Malaysia pula, katanya, negara ini pernah melaksanakan GST dan diakui berupaya memperoleh hampir RM40 bilion hasil cukai.

"Tetapi, pada masa itu kita banyak mendengar rungutan daripada pengguna dan pembayar cukai," katanya.

Menurut Barjoyai lagi, pengenalan semula cukai GST itu juga dijangka mengakibatkan kesan regresif apabila ia dikenakan kepada semua orang, tanpa mengira kemampuan dan sumber pendapatan mereka.

Barjoyai Bardai

Misalnya tambah ahli akademik itu, mereka yang mempunyai pendapatan antara RM10,000 hingga RM20,000 atau golongan berpendapatan rendah dikenakan kadar cukai GST yang sama.

"Ini yang dipanggil regresif. Ia tidak adil kerana orang yang pendapatannya sikit sepatutnya dikenakan cukai pada kadar yang lebih rendah.

"Sebab itu ramai pengguna resah dan menganggap cukai itu sangat membebankan dan zalim," katanya.

Kata Barjoyai, disebabkan itu Pakatan Harapan (PH) menghapuskan GST apabila menjadi kerajaan selepas PRU ke-14 lalu dan mengembalikan cukai semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Pelanggan bayar ke penjual

Justeru menurutnya walaupun terbukti cekap menambah kutipan buat negara, kerajaan perlu berhati-hati dan tidak terburu-buru memperkenalkan semula GST.

Kelmarin, Ismail Sabri berkata, kerajaan berminat untuk memperkenalkan semula GST walaupun sedar ia tidak popular dalam kalangan rakyat.

Dia juga memberi jaminan jika GST dikembalikan, yang dikenakan tidak akan membebankan rakyat namun pada masa sama ia tidak akan ditetapkan terlalu rendah.

Menurut Ismail, selepas GST dimansuhkan kerajaan hilang hasil tahunan sebanyak RM20 bilion.

Barjoyai berkata kerajaan sebenarnya boleh saja mengekalkan SST dengan memasukkan elemen sistem GST.

"Mengapa sistem GST dianggap cekap ialah kerana ia menyelesaikan masalah snowballing atau kesan cascading yang wujud kerana cukai jualan dikutip diperingkat kilang.

"Apabila kilang menjual, pelanggannya - sama ada pemborong atau peruncit - perlu membayar cukai jualan dan kemudian akan memasukkan cukai tersebut sebagai sebahagian daripada kos belian.

"Mereka kemudian mengenakan keuntungan dan mengenakan harga kepada pelanggan. Maka pelanggan yang terpaksa bayar cukai yang perlu dibayar penjual.

"Itu OK jika hanya berlaku pada satu peringkat, tetapi masalah biasa berlaku pengilang membeli daripada pengilang yang lain, kemudian mengeluarkan barangan lain dan selepas itu menjual kepada pemborong, dan peruncit.

"Jadi, ada empat peringkat di situ. Apabila ada empat peringkat, cukai yang dibayar di kilang pertama akan jadi kos kepada kilang kedua, cukai yang dibayar oleh pengilang kedua akan jadi kos kepada pemborong manakala cukai yang dibayar kepadan pemborong akan jadi kos kepada peruncit," jelasnya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pelanggan membayar jumlah cukai yang lebih tinggi daripada apa yang sebenarnya dikutip oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Menurut Barjoyai jika kerajaan boleh mengatasi masalah snowboarding itu ia akan menjadikan harga barangan menurun.

"Ini boleh dilakukan serta-merta dan tak perlu umumkan kepada rakyat bahawa sistem cukai sedia ada sudah diubah suai," katanya.

Barjoyai menambah kadar cukai 10 peratus untuk jualan dan enam peratus bagi perkhidmatan boleh dikekalkan namun sistem kredit dipinda.

Katanya sistem kredit itu akan mengelakkan cukai ke atas cukai dan ia akan menurunkan harga walaupun pada sisi lain, ia juga bergantung kepada kejujuran peniaga.

"Apabila harga menurun, kerajaan bolehlah memikirkan untuk menaikkan sedikit kadar cukai untuk dapatkan tambahan cukai," katanya.

Cukai ke atas orang kaya

Diminta mengulas keperluan melaksanakan kaedah mengenakan cukai kepada barangan yang mengancam kesihatan atau pun alam sekitar, Barjoyai berkata ia boleh diperkenalkan.

Bagaimanapun, dia menegaskan jika sesuatu barang itu dipastikan benar-benar mengancam alam sekitar mahu pun kesihatan adalah lebih baik kerajaan tidak membenarkan ia dijual langsung.

"Jika kita membenarkan ia dijual walaupun dikenakan cukai, ia seolah-olah kita menggalakkan penjualan barang-barang berkenaan.

"Sama juga dengan cukai pendapatan ke atas pelacur, mengapa ia tidak dikutip? Sebab kita tak mahu galakkan profesion tersebut.

"Sebenarnya gaji pelacur adalah jauh lebih tinggi daripada gaji pekerja gig ekonomi misalnya. Tapi cukai tidak dikenakan kerana kita tidak mahu mengiktirafnya sebagai satu kerja," jelasnya.

Tegas Barjoyai, kerajaan juga tidak perlu melaksanakan jika boleh boleh mendapatkan hasil pendapatan yang lebih besar kalau melalui cukai kepada golongan kaya dan berpendapatan tinggi.

Ketika ini katanya dividen yang diterima oleh pelabur tidak dikenakan cukai.

"Kenapa dividen tidak dicukai sedangkan pendapatan gaji dicukai? Bukankah ini diskriminasi ke atas pelabur? Maknanya, ini mungkin menyebabkan pelabur semakin kaya sebab setiap tahun dia akan dapat dividen dan itu tidak dicukai.

"Begitu juga apabila pelabur-pelabur terbabit inimenjual sebahagian daripada saham mereka dan mendapat keuntungan, itu pun tidak dicukai," tambahnya.

Shazali Abu Mansor

Sementara itu, pakar ekonomi dari University College i CATS, Kuching, Prof Dr Shazali Abu Mansor berkata tiada masalah untuk kerajaan kembali melaksanakan GST.

Bagaimanapun, katanya, apa yang kerajaan perlu lakukan ialah melaksanakan cukai terbabit kepada barang bukan keperluan.

"Kita melihat dari dua aspek, yang pertama dari aspek kerajaan memang memerlukan duit kerana banyak perkara yang perlu digunakan kerajaan seperti subsidi.

"Jadi, kerajaan memerlukan duit bagi menampung kekurangan kewangan negara serta tidak mahu lagi berhutang.

"Yang kedua, dari aspek rakyat pula, mereka belum bersedia kerana keadaan ekonomi yang agak meruncing sekarang.

"Jadi, kalau kita lihat jalan tengahnya ialah kerajaan mungkin boleh kenakan atau adakan semula GST tapi untuk barangan tertentu saja, misalnya barangan mewah seperti kelengkapan golf dan beg tangan berjenama mewah," katanya.

Rakyat belum bersedia

Namun, tegas Shazali, bagi barang keperluan rakyat biasa jangan sesekali kenakan cukai sehinggalah apabila keadaan ekonomi kembali pulih.

Menurutnya lagi, jika kerajaan tetap mahu melaksanakan GST mereka perlu memikirkan mekanisme yang tidak mampu mengubah ketetapan yang dibuat itu.

Hal itu kerana, tambahnya, apabila parti lain memenangi PRU mereka mungkin mahu menghapuskan semula GST dan ia akan menyebabkan masalah.

"Sebelum ini dah OK, orang dah terbiasa tetapi kerana kempen politik kita hapuskan GST.

"Jadi banyak perkara yang perlu dilihat sebelum ia dilaksanakan," katanya.

Mengulas lanjut Shazali berkata negara sememangnya sangat memerlukan hasil kutipan cukai namun kerajaan perlu berhati-hati untuk melaksanakannya.

Cuma katanya agak malang apabila rakyat belum bersedia untuk itu khususnya ketika orang awam berdepan suasana ekonomi yang sangat meruncing.

"Ini akan membuat rakyat bertambah marah jika dilaksanakan," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS