Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membina terowong penyimpanan air bawah tanah berkapasiti tinggi bagi mengatasi isu banjir kilat di ibu negara.
Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim berkata langkah itu merupakan satu kaedah penyelesaian jangka panjang yang akan mengambil tempoh tiga hingga lima tahun untuk disiapkan.
Beliau berkata bagi tujuan itu, DBKL akan mengadakan kajian kebolehlaksanaan untuk mengkaji lokasi dan spesifikasi terowong simpanan air hujan bawah tanah yang akan disiapkan dalam tempoh tiga bulan.
"Fungsinya ialah untuk menampung air banjir sebelum dilepaskan ke sungai ketika air surut. Kebanyakan bandar raya di dunia seperti Tokyo dan Itabashi di Jepun membinanya di bawah jalan raya.
"Namun apa yang kita dapati, jalan raya di ibu kota sempit. Oleh itu, ada yang mencadangkan agar kita membinanya 120 kaki di bawah sungai," katanya dalam sidang media Ke Arah Kuala Lumpur Bebas Banjir Kilat hari ini.
Shahidan berkata bagi tujuan itu, DBKL akan melantik perunding dengan kadar segera selepas mengadakan perbincangan bersama JPS.
Pada masa sama, beliau berkata DBKL juga akan membina tembok penahan banjir dengan segera di semua kawasan yang dijangka berlaku limpahan air sungai.
Shahidan berkata punca utama banjir kilat di ibu kota adalah disebabkan limpahan air sungai yang menyebabkan sistem perparitan tidak boleh menyalurkan air dengan lancar ke dalam sungai.
"Kita juga akan melaksanakan kerja-kerja pembersihan kelodak di dalam kolam takungan banjir dan sungai agar dapat memaksimumkan kapasiti penggunaannya.
"Buat masa ini, kita meletakkan beg pasir di kawasan terlibat dengan limpahan air sungai selain menempatkan pam air mudah alih sebagai langkah sementara mengatasi masalah ini," katanya.
Dalam pada itu, Shahidan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah turut berpeluang menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-27 Mengenai Masa Depan Asia di Tokyo, Jepun dari 23 hingga 27 Mei lepas.
"Tujuan kami ke sana adalah untuk melihat bagaimana Jepun, terutama di Tokyo dan Itabashi, mengatasi masalah banjir dan banjir kilat yang sering berlaku pada masa lepas.
"Hasil lawatan itu, kami mendapati setiap perancangan yang dilakukan untuk ibu negara adalah bertepatan dengan apa yang dilakukan di negara maju itu seperti menaik taraf sungai dan pembinaan terowong bawah tanah," katanya.
Shahidan turut menyeru semua anggota masyarakat untuk memberi kerjasama sebaik-baiknya antara lain tidak membuang sampah di merata-rata tempat terutama ke dalam sistem saliran.
"Kita juga mengalu-alukan warga kota untuk memberi maklum balas dan cadangan kepada DBKL kerana matlamat kita adalah untuk menyelesaikan masalah ini sepenuhnya," kata beliau.
- Bernama