Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengambilan pekerja Bangladesh: Kabinet akan putuskan jumlah agensi

Kabinet Malaysia akan membuat keputusan muktamad mengenai jumlah Agensi Pengambilan Pekerja Bangladesh (BRA) yang dibenarkan menghantar rakyat mereka sebagai pekerja di negara ini dalam pelbagai sektor.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan memberitahu wartawan di Dhaka, Bangladesh, bahawa keputusan muktamad mengenai isu yang menimbulkan bantahan daripada agensi pengambilan pekerja itu terletak di tangan negara penerima.

"Itu bergantung kepada Malaysia. Itu milik kita. Itu selalunya negara penerima akan tentukan.

"Dan kami akan melakukan mengikut keputusan kabinet kami," kata Saravanan selepas mengetuai delegasi Malaysia pada mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama dengan rakan sejawatannya, Menteri Kebajikan Ekspatriat Bangladesh dan Pekerjaan Luar Negara Imran Ahmad.

Portal dalam talian Bangladesh, Probash Barta di laman Facebooknya berkongsi pakej berita yang termasuk rakaman dari wawancara dengan Saravanan selepas mesyuarat pagi tadi.

"Kami akan membuat keputusan dan kami akan tahu selepas mesyuarat (kabinet)," kata Saravanan ketika ditanya sama ada keputusan muktamad telah dibuat oleh Malaysia untuk hanya membenarkan 25 agensi pengambilan pekerja.

Saravanan juga berkata Malaysia masih sangat memerlukan pekerja asing manakala Bangladesh mempunyai lebihan bilangan pekerja untuk dihantar.

Maka, katanya ia akan memberi faedah untuk mempercepatkan proses selepas menyelesaikan semua perkara tertunggak melalui kumpulan kerja bersama dua hala.

“Kerajaan Bangladesh amat bimbang tentang kebajikan pekerja, jadi kita perlu memberi jaminan kepada mereka.

"Kami telah mengumumkan, kami telah memaklumkan kepada mereka apakah langkah yang kami ambil, untuk memastikan kebajikan pekerja Bangladesh di Malaysia dijaga dari segi gaji, keperluan sosial dan sebagainya. Semua itu kami rekodkan hari ini," kata Saravanan.

Sementara itu, protes aman yang diadakan di luar tempat mesyuarat diteruskan dengan aman.

Protes itu disertai agensi pengambilan pekerja yang tidak berpuas hati di bawah Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (Baira).

Gambar daripada protes menunjukkan ahli Baira membawa sepanduk "selamat datang" dengan gesaan mereka agar Malaysia membuka proses pengambilan kepada semua agensi berlesen berjumlah lebih 1,000 syarikat.

Ketika dihubungi, Setiausaha Agung Baira Shameem Ahmed Chowdhury mengesahkan anggotanya telah mengulangi gesaan mereka untuk sistem "pasaran terbuka" seperti yang diamalkan dengan 13 negara lain menghantar pekerja asing ke Malaysia.

"Lebih daripada 200 anggota muncul tetapi polis tidak membenarkan anggota kami berkumpul," katanya kepada Malaysiakini.

Kedua-dua negara menandatangani memorandum perjanjian Disember lalu untuk menarik balik sekatan bekalan buruh dari Bangladesh ke Malaysia untuk semua sektor tetapi proses pengambilan masih belum selesai.

Sekatan itu dikenakan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 1 Sept 2018.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS