Paling Popular
Terkini

ULASAN | Ketika media sosial menjadi platform bebas dan meluas bagi sebahagian besar orang mengambil tahu apa juga perkembangan isu semasa, adalah amat naif bagi sesebuah kerajaan untuk tidak menggunakan kemudahan itu semaksimum mungkin.

Lebih-lebih lagi apabila mereka pernah merungut mengenai cara layanan media massa kepada program dan hebahan daripada kerajaan negeri.

Penggunaan meluas media sosial ini memang tidak dapat disangkal lagi. Sementelah pula media massa dan bidang kewartawanan turut 'mengajar' semua orang bahawa platform tersebut adalah salah satu kaedah penyebaran berita semasa paling berkesan.

Namun apa yang lebih mendukacitakan ialah adanya sesetengah pemimpin yang mengambil sikap menjauhkan diri daripada pengamal media atau para wartawan.

Sama ada mereka benar-benar mahu bersikap low profile atau sebenarnya curiga kepada media massa, ia adalah persoalan yang memerlukan kupasan yang lain.

Keadaan itu merupakan salah satu cabaran yang terpaksa dialami oleh pengamal-pengamal media di Kelantan ketika ini. Dari aspek keterbukaan pemimpin menyatuni keperluan media massa suasana di Kelantan ternyata berbeza jika berbandingkan dengan negeri-negeri lain.

Dihentam, dikritik, dicemuh bahkan dikeji sekali pun, cara terbaik bagi pihak kerajaan untuk menguruskannya adalah berdepan dengan keadaan itu dan tampil memberi penjelasan sebaik mungkin, bukannya 'lari' atau mengabaikan.

Tetap rancak layan soalan

Semasa penulis bertugas di Kedah beberapa tahun dahulu, kami dihidangkan dengan pengalaman layanan lebih teratur daripada pimpinan kerajaan negeri Jelapang Padi itu.

Ia dilihat menjadi amalan tradisi sehingga kini walaupun pihak yang mentadbir kerajaan negeri sentiasa bertukar ganti dan berbeza parti politik.

Antaranya, amalan mengadakan sidang media pada setiap kali selepas mesyuarat exco yang kebiasaannya dikendalikan menteri besar atau exco-exco kanan.

Pada setiap Rabu biasanya petugas media Kedah sudah sedia maklum: sebaik saja selesai mesyuarat exco, menteri besar akan tampil di ruang yang tersedia dan berdepan apa sahaja soalan yang ditanya.

Penulis pernah melihat rutin itu berlangsung dengan lancar ketika Kedah di bawah pentadbiran Allahyarham Azizan Razak sebagai menteri besar Kedah. Ia teruskan oleh pemimpin sesudahnya.

Dan sehingga kini Muhammad Sanusi Md Nor tetap dilihat begitu rancak melayan setiap pertanyaan wartawan.

Begitu juga keadaannya di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan lain-lain. Kecuali di Kelantan.

Tidak ada sidang media yang teratur dan lebih sistematik dikhaskan sebaik selesai mesyuarat exco kerajaan negeri. Sebaliknya petugas media di Kelantan bagaikan pemancing yang banyak bergantung harap kepada nasib.

Pada hari yang nasib baik tidak memihak, kami yang menunggu sekian lama hanya akan pulang dengan tangan kosong. Sedangkan ada begitu banyak isu semasa berlegar-legar dan memerlukan penjelasan lanjut daripada pimpinan kerajaan negeri.

Pada hari sesekali bertuah, dapatlah kami berkongsi perkembangan dan mencatat jawapan-jawapan dari pihak kerajaan. Biasanya tokoh yang selalu menyelamatkan keadaan ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah.

Ada peluang jika diundang

Pimpinan lain pula biasanya hanya akan bersedekah senyum kepada wartawan sambil mengangkat tangan menyapa sebelum berlalu begitu saja. Kalau ada pun yang sudi melayan soalan wartawan ia hanya berlaku dalam keadaan langka.

Andaikan ada berbangkit mengenai isu bekalan air. Sepatutnya exco yang menggalas portfolio berkaitan segera tampil memberi penjelasan. Setidak-tidaknya ia akan menyebarluaskan maklumat versi pihak berkuasa. Tidaklah isu berkenaan berlegar dengan data dan rasa tidak puas hati sepihak saja.

Mohd Amar juga yang kena tampil menjawab.

Jika isu pembalakan dan tanah berbangkit, ia terletak di bawah portfolio menteri besar. Biasanya Mohd Amar juga yang akan tolong menjawab.

Memanglah kalau isu-isu berkait perkembangan politik negara, Mohd Amar itulah yang kami nanti-nantikan. Ia kerana ahli politik terbabit berjawatan kanan dalam parti. Dia ialah naib presiden PAS.

Kami tidak ada pilihan yang banyak. Dan perlu bersyukur kerana mujur ada Mohd Amar yang masih sudi melayan soalan demi soalan, walaupun kebanyakan soalan itu tidak berkait secara langsung dengan portfolio hakiki yang digalasnya.

Demikianlah keadaan kami di Kelantan yang menanti mesyuarat exco pada Rabu setiap dua minggu sekali. Selebihnya kami akan lakukan liputan di acara-acara rasmi lain sekiranya diundang.

Itu juga bergantung harap pada nasib juga, sama ada acara itu disusuli sidang media atau sebaliknya.

Namun pujian boleh diberikan kepada Exco Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Dr Izani Husin, kerana dia menjadi sebahagian kecil pimpinan Kelantan yang mudah didekati pengamal media khususnya ketika menangani perkembangan wabak Covid-19.

Amat penting bagi kerajaan negeri tampil memberi penjelasan kepada umum sekiranya ada sesuatu berbangkit atau munculnya dakwaan-dakwaan liar yang boleh mempengaruhi kacamata rakyat.

Soal bagaimana reaksi rakyat, atau kesediaan mereka berdepan dengan kemarahan awam adalah isu lain.

Melalui sidang media atau kenyataan media, kerajaan bolehlah dilihat sentiasa peka untuk menangani masalah rakyat, selain secara langsung mendidik masyarakat untuk menilai dengan matang bagaimana prestasi pemimpin yang mereka lantik.

Sayugia dimaklumkan, tulisan ini sekadar mahu menjawab persoalan rakan-rakan di luar bidang kewartawanan yang sering bertanya: "Mengapa hanya timbalan menteri besar Kelantan yang selalu bercakap kepada media? Tidak adakah exco-exco lain?"

Biasanya penulis akan jawab ringkas: "Mujurlah ada TMB."

Justeru sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) pada 29 Mei yang baru sahaja berlalu, penulis berharap Kelantan dapat mencontohi kerajaan negeri lain yang lebih mesra dan terbuka dengan media ketika mereka memikul amanah dengan sempurna mungkin. Wallahualam.


N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini yang berpangkalan di Kota Bharu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS