Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRU awal: Shahidan kata akur, Bersatu anggap ada agenda

Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim berkata dia tidak ada masalah untuk akur sekiranya Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, mahu mengadakan pilihan raya umum (PRU) dalam kadar segera.

Pun begitu, Shahidan berkata, BN harus memahami dengan jelas akan makna "telah bersedia" seperti yang dijadikan prasyarat untuk mengadakan PRU.

Katanya ungkapan "telah bersedia" itu bermakan BN memang yakin memasuki gelanggang PRU untuk mencipta kemenangan.

"Perdana menteri kata bila dah bersedia, pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa.

"Perdana menteri dah beritahu dia tidak akan menangguh (pilihan raya) walaupun sekejap kalau kita dah bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

“Bersedia ni bermaksudnya kita pergi (sertai) pilihan raya, kita menang.

"Saya tiada masalah dan mematuhi keputusan yang dibuat,” katanya sebagai mengulas gesaan pada Konvensyen BN supaya PRU ke-15 diadakan segera.

Semalam, peserta Konvensyen BN terus bangun dan bersorak apabila pengerusi gabungan itu, Ahmad Zahid Hamidi, melontarkan pertanyaan siapa yang mahukan PRU ke-15 diadakan tahun ini.

Gesaan itu dilontarkan di hadapan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam acara yang berlangsung di Kuala Lumpur itu.

"Siapa mahu PRU tahun ini? Siapa mahu PRU dalam masa terdekat... bangun," disambut dengan sorakan oleh peserta Konvensyen BN.

Bagaimanapun Malaysiakini hari ini melaporkan, Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa, terus berada di tempat duduknya.

Sementara itu ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman menyelar sikap BN yang berkali-kali mendesak perdana menteri agar mengadakan PRU segera.

Muhammad Faiz Na’aman

Jelasnya, pemimpin BN bagaikan terdesak mengejar PRU pada tahun ini bagi 'menamatkan' kes mahkamah yang dihadapi individu tertentu.

"Kepimpinan BN dilihat angkuh dan tergesa-gesa dalam soal ini seolah-olah sedang dikejar sesuatu tarikh dalam tahun ini.

"Adakah ianya kerana tarikh tamatnya segala proses mahkamah individu tertentu?

"Bukan hanya BN saja parti politik atau pihak yang mewakili segmen masyarakat dalam negara ini.

"Perdana menteri wajar mengambil kira semua pendapat serta faktor sebelum membuat keputusan untuk adakan PRU," katanya.

Tambahnya, kestabilan politik kerajaan sekarang telah diganggu oleh satu "kluster" di dalam Umno sejak hujung 2020 setelah mahkamah tinggi menjatuhkan hukuman terhadap Najib Razak dalam pertuduhan jenayah dihadapinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS