Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Krisis air di Seberang Perai Selatan dijangka selesai dalam 2 bulan
Diterbitkan:  Jun 2, 2022 7:00 PM
Dikemaskini: 12:25 PM

Krisis bekalan air yang dialami penduduk Pulau Pinang terutama di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dijangka selesai dalam tempoh dua bulan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBA) Datuk Jaseni Maidinsa berkata gangguan air di daerah tersebut disebabkan oleh penggunaan air harian yang melonjak sebanyak 10.4 peratus dalam tempoh tiga tahun, iaitu kepada 931 juta liter sehari (JLH) pada Mei 2022, berbanding 843 JLH pada tahun 2019.

“PBA telah mendapat kelulusan khas dari pihak pengerusi untuk menjalankan dua projek melalui kaedah perolehan kecemasan iaitu memasang pam penggalak untuk mengepam lebih banyak air dan meningkatkan output rawatan air Bukit Panchor sebanyak lima hingga 10 JLH,” katanya dalam satu sidang media bersama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata bagi penyelesaian jangka masa pendek, PBA akan memaksimumkan pengeluaran air di sembilan loji rawatan airnya, mengalirkan lebih banyak air terawat ke SPS dan menghantar lori tangki air di kawasan terlibat.

Sementara itu Zairil berkata peningkatan penggunaan air turut berpunca daripada aktiviti perindustrian yang kian aktif selepas melalui tempoh perintah kawalan pergerakan.

“Sehubungan itu, PBA hanya akan meluluskan perkhidmatan bekalan air untuk kilang baharu yang dilengkapi tangki simpanan 48 jam di tapak,” katanya.

Beliau berkata PBA juga sedang melaksanakan lima projek menerusi Pelan Kontingensi Air Mentah 2030 (RWCP 2030) yang akan menghasilkan tambahan 569 JLH air kepada penduduk negeri ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS