Ketika BN - khususnya Umno - dilihat gagal bersependapat dalam beberapa isu seperti keperluan mengadakan pilihan raya umum (PRU) segera, seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebaliknya mempunyai pandangan lain.
Presiden Amanah Mohamad Sabu bahkan berkata, penyokong pembangkang khususnya PH wajar mengabaikan 'percakaran' tersebut sebaliknya memberi tumpuan kepada keperluan yang lebih utama.
Menganggap pertembungan pandangan dalam BN itu sebagai hanya sandiwara Mohamad berkata seluruh pembangkang perlu bersatu bagi mengalahkan kerajaan sedia ada dan mengembalikan maruah negara.
"Jangan pedulikan percakaran di antara Umno, PAS dan Bersatu. Mereka semua berada dalam kerajaan.
"Sifat mereka (adalah) saling membantu antara satu sama lain untuk mengekalkan kerajaan tebuk atap.
"Oleh itu saya menyeru kepada seluruh ahli Amanah, rakan-rakan pendukung PH dan pembangkang terus berusaha untuk menghadapi PRU akan datang untuk mengembalikan maruah negara," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Untuk menegaskan pandangan tersebut, Mohamad - yang terkenal dengan jolokan Mat Sabu - turut mengiringi kenyataannya itu dengan lampiran dua berita yang menggambarkan pemimpin BN berbeza pendapat.
Ia membabitkan seruan bekas perdana menteri Najib Razak supaya rakyat menghukum Perikatan Nasional (PN) kerana "dosa besar" gabungan terbabit kepada negara.
Najib membuat kenyataan tersebut dengan merujuk kepada langkah PN menggunakan alasan Covid-19 bagi mempertahankan kerajaan yang tidak didakwanya mempunyai majoriti.
Seruan Najib itu dibuat pada Konvensyen BN di Kuala Lumpur semalam yang turut menggesa pilihan raya umum disegerakan.
Satu lagi laporan membabitkan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz yang mengkritik pihak dalam BN yang mendesak supaya PRU ke-15 diadakan lebih segera.
Mohamad berkata adalah lebih penting untuk pembangkang memastikan kerajaan tidak kembali ke tangan kleptokrat serta kumpulan yang tidak menghormati demokrasi.
"Jangan lagi negara ini tergadai kepada golongan kleptokrat dan sekutu mereka yang tidak menghormati demokrasi berparlimen dalam mengambil alih kuasa.
"Pedulikan soal Umno dan sekutunya yang kononnya bercakaran, tetapi sebenarnya mereka sentiasa membantu di antara satu sama lain," katanya.