Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin hari ini mengumumkan bahawa ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang diperkenal pada 2014 dimansuhkan mulai tahun ini.
PT3 sebelum ini tidak dilaksana pada 2020 dan 2021 ekoran pandemik Covid-19.
Radzi berkata Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkukuh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang mengandungi tiga komponen iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).
“Walapun tiada penilaian pusat (PT3), pelajar tingkatan satu, dua dan tiga akan menduduki ujian akhir tahun dengan menggunakan bank soalan yang disediakan KPM bagi semua mata pelajaran,” katanya pada sidang media mengenai pemansuhan PT3 di Putrajaya.
Di bawah PBD, Radzi berkata pentaksiran secara formatif serta sumatif akan dilaksana merangkumi pemerkasaan program latihan untuk guru dan pentadbir bagi memantapkan pelaksanaan pentaksiran berterusan (formatif) di sekolah.
Beliau berkata bagi pentaksiran sumatif pula, ia bertujuan memantapkan ujian akhir sesi akademik untuk semua mata pelajaran di peringkat menengah rendah dengan pelaksanaan ujian yang lebih fleksibel.
Katanya ujian akhir sesi akademik atau pentaksiran sumatif akan dilaksana dalam sesi akademik 2022/2023 bagi pelajar tingkatan satu, dua dan tiga.
Radzi berkata pentaksiran sumatif turut melibatkan pelajar tahun empat, lima dan enam dengan set soalan akan disediakan oleh KPM bagi lima mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah, juga bagi sesi akademik 2022/2023.
“Soalan untuk mata pelajaran lain bagi murid tahun empat hingga enam ini akan disediakan oleh guru,” katanya.
Radzi berkata pelaporan PBD akan dibuat secara menyeluruh dua kali setahun iaitu pada pertengahan sesi akademik serta akhir sesi akademik, menggunakan deskriptor bagi tahap penguasaan (TP1-TP6) yang komprehensif dan jelas selain ulasan daripada guru kelas dan guru mata pelajaran.
"Pelaporan pertengahan sesi akademik akan mula dilaksana bagi sesi 2023/2024 manakala pelaporan akhir akan bermula pada sesi akademik 2022/2023," katanya.
Ditanya mengenai penilaian pelajar yang ingin ke sekolah khusus ketika Tingkatan Empat, Radzi berkata mereka perlu menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).
“Begitu juga dengan pemilihan aliran Sains dan Sastera bagi Tingkatan Empat di sekolah biasa, perbincangan akan diadakan dengan guru, murid serta ibu bapa dan pelaporan PBD akan membantu penetapan aliran kelak,” katanya.
Sekolah khusus terdiri daripada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).
- Bernama