Seorang ahli akademik dan pengamat politik menyatakan kebimbangan terhadap prestasi ekonomi negara dan berpendapat bahawa kerajaan semakin hilang arah dalam membawa negara kembali ke landasan yang betul.
Prof Mohammad Agus Yusoff berkata kerajaan hari ini perlu bangun dengan polisi tegas dan jelas.
"Hendak betul macam mana jika pemimpin sibuk berpolitik, sibuk dengan tarikh pilihan raya, dan sibuk dengan saling menyalahkan pihak lain,” katanya.
Dia berkata belum nampak dasar jelas untuk menyelesaikan krisis makanan, pekerjaan, nilai ringgit yang merudum, dan kenaikan kos sara hidup.
“Yang saya nampak ialah kenyataan secebis-cebis sahaja dari pemimpin yang tidak konsisten pun antara satu sama lain," katanya dalam tulisan di Facebook.
Tambahnya, kerajaan perlu tumpu kepada dasar untuk untuk selesaikan masalah asas kehidupan rakyat.
Malaysia sedang mengalami gangguan pengeluaran, stok dan logistik era Covid-19.
Ini ditambah teruk oleh perang di Ukraine telah melonjakkan kadar inflasi dunia ke antara paras tertinggi sejak 40 tahun lalu.
Agus bagaimanapun berkata di sebalik mencari penyelesaian, kenyataan-kenyataan pemimpin kerajaan “menyakitkan”.
"Kadang-kadang saya rasa seperti diperbudakkan, jikapun tidak diperbodohkan oleh kenyataan pemimpin.
“Misalnya, hendak menyelesaikan masalah harga ayam dan masalah rungutan rakyat yang lain, saya lihat kenyataan dan cadangan pemimpin seperti jenaka sahaja.
“Malangnya jenaka mereka tidak nakal, tetapi menyakitkan,” katanya.
Dia mempersoalkan penjelasan kerajaan bahawa ekonomi negara meningkat kukuh dan mampan.
Sedangkan, katanya, Bank Negara menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2%, nilai ringgit menyusut sehingga RM4.38 berbanding dolar Amerika Syarikat, pengaliran keluar pelabur asing dan harga barangan dijangka meningkat sehingga 60%.
"Dari mana kukuh dan mampannya itu? Ini yang saya tidak nampak.
“Yang saya nampak ialah kerajaan hilang arah, beberapa menteri yang memegang portfolio strategik tidak kompeten, rakyat semakin tertekan, dan negara menghadapi masalah yang bertali arus," katanya.
Katanya, dia bimbang Malaysia akan menjadi seperti Sri Lanka.
“Saya tidak dapat membayangkan jika negara kita diambang muflis, kadar inflasi mencecah paras tertinggi, dan krisis makanan semakin memburuk. Semoganya ini tidak berlaku di ngara kita,” katanya.