Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS beri amaran krisis tepung gandum pula selepas ayam
Diterbitkan:  Jun 2, 2022 11:45 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

PAS menjangkakan bekalan tepung gandum tidak mencukupi dalam tempoh enam bulan.

Parti itu justeru menuntut pelan mitigasi komprehensif bagi meminimumkan risiko ia menjadi “bom jangka”.

“Paling utama, kerajaan tidak harus merasa 'terlalu yakin' akan berterusan memperolehi bekalan yang diimport, sebaliknya mesti memiliki jangkaan paling ekstrem. 

“Pelan mitigasi komprehensif mesti diadakan agar risiko kewujudan 'bom jangka' dapat diminimumkan impaknya sekecil yang mampu,” kata ketua penerangannya Khairil Nizam Khirudin.

Khairil Nizam Khirudin

Dalam kenyataan hari ini Khairil Nizam berkata polemik bekalan dan harga tepung gandum berlarutan sejak lebih setahun dan “seperti barah” yang perlahan-lahan menjadi kritikal. 

“Sungguhpun India menyatakan larangan itu hanya bersifat 'sementara', ramai sudah berpengalaman menyaksikan masalah seperti ini akan menjangkau satu tempoh sangat lama. 

“Lalu ia menyebabkan masalah yang berantaian dan memberikan akibat buruk pihak-pihak berkeperluan,” kata senator itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Alexander Nanta Linggi pada 17 Mei berkata kekurangan bekalan tepung gandum di pasaran tidak mempunyai kaitan besar dengan larangan eksport dari India.

Alexander Nanta Linggi

Katanya, Malaysia hanya bergantung terhadap peratusan kecil import dari India, berbanding 85 peratus lagi dari Amerika Syarikat (AS), Ukraine dan India.

Dia sebaliknya berkata bekalan kurang disebabkan permintaan tinggi terhadap sesuatu jenama tepung gandum yang popular. 

India melarang eksport gandum kerana harga jualan dalam negara itu mencecah rekod tertinggi susulan hasil tanaman terjejas kerana gelombang haba panas terik.

Mengakui 80 peratus import Malaysia dari Australia, Amerika Syarikat, Kanada, Ukraine dan Rusia, Khairil Nizam bagaimanapun berkata “siren-siren amaran untuk bekalan terputus sudah semakin jelas menjerit”.

“Apatah lagi pada aspek harga, Bank Dunia meramal ia akan meningkat 40 peratus tahun ini,” katanya.

Katanya hampir semua negara memerlukan gandum sama ada adalam bentuk bijirin mahupun tepung. 

Malah, katanya, ia menjadi antara pengambilan makanan terbanyak selepas makanan ruji asasi di setiap benua. 

Di Asean pula, katanya, permintaan tepung gandum sentiasa meningkat. 

Sementara itu, katanya, di Malaysia roti dan pastri pembuatan tangan sahaja dianggarkan bernilai lebih RM3 bilion, tidak termasuk yang berada di tahap industri.

“Hatta aneka kuih-muih, mi hinggalah variasi 'colek' perlukan tepung,” katanya.

“Bayangkan operasi perniagaan berkenaan terpaksa dihentikan kerana dimaklumkan bekalan sedia ada hanya mampu bertahan untuk tiga atau empat bulan sahaja lagi. 

“Kekurangan bekalan dijangka berlaku enam bulan dari sekarang, itupun jika tidak berlaku pembelian panik,” katanya.

Kemungkinan terburuk, kata Khairil Nizam, boleh terjadi kesan domino seperti disaksikan dalam gangguan bekalan ayam sebelum ini.

“Apa juga bakal terjadi, kerajaan diharap konsisten prihatin menjaga kepentingan rakyat dan penyumbang industri makanan ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS