Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz menyifatkan ahli politik yang menggesa PRU diadakan di saat negara berdepan inflasi bersikap pentingkan diri sendiri dan tidak memikirkan rakyat.
Nazri berkata dia menyokong sepenuhnya kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri dalam satu wawancara sebelum ini bahawa dia akan menunggu “masa yang sesuai” untuk membubarkan Parlimen.
"Saya setuju dengan perdana menteri. Keutamaan kita sekarang adalah kesusahan rakyat dan kita semua tahu inflasi berlaku sekarang, jadi kita kena utamakan rakyat.
"Kita perlu cari jalan untuk mengatasi inflasi dan memastikan rakyat ada wang yang cukup untuk menyara kehidupan.
"Itu lebih penting berbanding mementingkan diri sendiri secara politik dengan merasakan ini waktu yang sesuai untuk PRU," katanya ketika dihubungi Malaysiakini dua hari lalu.
Nazri mengulas kenyataan Ismail Sabri dalam wawancara bersama akhbar kewangan Nikkei yang disiarkan dua hari lalu.
Dalam wawancara itu, Ismail Sabri dilaporkan tidak menyentuh secara langsung berkaitan gesaan supaya pilihan raya umum diadakan lebih awal, antaranya daripada partinya sendiri iaitu Umno.
“Kita sekarang berdepan tempoh peningkatan inflasi dengan harga yang tinggi, adakah kamu fikir ini masa yang sesuai?” dia dipetik berkata dalam wawancara itu.
Bagaimanapun, gesaan agar PRU diadakan secepat mungkin sekali lagi berkumandang ketika Konvensyen BN yang diadakan sehari kemudian iaitu semalam.
Malah Ismail yang juga naib presiden Umno juga dilaporkan berkata dalam konvensyen itu bahawa dia tidak akan melewatkan "walau sesaat" bagi mengadakan PRU15 jika BN sudah bersedia.
Mengulas lanjut, Nazri mengkritik pihak dalam partinya yang merasakan kini waktu yang sesuai untuk mengadakan PRU, dengan keadaan pembangkang yang goyah dan kemenangan Umno dalam beberapa PRN sebelum ini sebagai pertimbangan.
"Jika itu yang anda fikir, yang inflasi bukan perkara penting dan pilihan raya lebih penting, itu mementingkan diri sendiri.
"Ahli parlimen dari kedua-dua pihak kini menyokong perdana menteri jadi tiada sebab langsung untuk buat pilihan raya.
"Bagaimana ahli parlimen daripada pihak lain sokong perdana menteri, tetapi parti perdana menteri sendiri tidak menyokongnya?" soal Nazri.
Dengan keadaan ekonomi semasa, katanya lagi, negara perlu bersedia untuk menangguhkan pilihan raya, malah sehingga akhir penggal ini jika perlu.
Apabila penggal sudah tamat dan pilihan raya perlu diadakan, Umno tidak akan dipersalahkan atas perkara itu, katanya lagi.