Menjelang mesyuarat dua hala rancangan protes yang berkaitan dengannya, Menteri Sumber Manusia M Saravanan mempertahankan pendirian untuk mengehadkan agensi negara itu yang dibenarkan menghantar pekerja asing ke Malaysia.
Bercakap kepada Malaysiakini, Saravanan, yang dijadual mengetuai delegasi kementeriannya bagi mesyuarat Kumpulan Kerjasama (JWG) Malaysia-Bangladesh di Dhaka esok, berkata dia secara peribadi tidak takut dengan sebarang protes yang dilaporkan dirancang oleh agensi yang tidak berpuas hati dengan sekatan Malaysia.
"Saya tidak takut. Semakin mereka ancam semakin saya akan larang," tegasnya.
Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Antarabangsa Bangladesh (Baira) sebelum ini dilaporkan mengancam untuk ke mesyuarat JWG dengan kain kafan sebagai protes terhadap pendirian Malaysia yang hanya membenarkan 25 Ejen Pengambilan Bangladesh (BRA) dan 250 subejen terlibat dalam pengambilan pekerja baru ke Malaysia.
Ini jbertentangan dengan permintaan Baira untuk mendapatkan peluang sama dalam "sistem pasaran terbuka" - melibatkan lebih 1,000 ahlinya - yang menurutnya akan menamatkan "sindiket" yang didakwa menaikkan kos pengambilan dan pencabulan hak pekerja.
Memetik sumber industri, akhbar Bangladesh The Business Post berkata kos pengambilan pekerja akan meningkat daripada 120,000 Taka (RM5,900) seorang kepada 450,000 Taka (RM22,200) jika kartel dibenarkan mengawal pasaran.
Saravanan dijadual bertemu rakan sejawatannya, Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Imran Ahmed pada mesyuarat JWG.
"Mereka mesti menghormati keputusan kita. Kerajaan yang sama telah menerima (had) 10 agensi sebelum ini dan kini kami tambah kepada 25 agensi," kata Saravanan yang merujuk kepada syarat pengambilan yang ditetapkan semasa pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.
Ditanya berkenaan jangkaan hasil pertemuan esok, Saravanan berkata, "itu terserah pada mereka."
Pada 1 Nov 2018, akhbar Bangladesh The Daily Star mendedahkan bagaimana kerajaan di bawah pimpinan Najib, dengan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai menteri dalam negeri, telah melantik 10 agensi daripada lebih 700 agensi yang dicadangkan - pelantikan yang didakwa dibuat tanpa asas.
Sebelum menandatangani MOU dengan malaysia pada Disember lalu, Imran telah menyokong gesaan Baira untuk menamatkan sindiket yang didakwa wujud dalam proses pengambilan pekerja.
Saravanan bagaimanapun berkata, amalan pasaran terbuka ditamatkan sebelum ini kerana ia telah menyebabkan kebanjiran pekerja warga itu di Malaysia.
"Ia adalah kegagalan pada masa lalu. Sebelum 2016, semua agensi dibenarkan menghantar pekerja ke sini dan kita berdepan masalah besar sehingga 50,000 warga Bangladesh tidur di jalanan.
"Terdapat juga bantahan oleh ribuan warga Bangladesh di Suruhanjaya Tinggi mereka di Kuala Lumpur kerana masalah yang timbul," kata Saravanan.
Selain itu, katanya lagi, usaha sebelum ini untuk membuat pengambilan secara terus melalui persetujuan antara kerajaan dua negara juga telah gagal.
“Jadi akhirnya pada 2018 had baru 10 agensi dikenakan.
"Sekiranya aturan ini terbukti berjaya, kita boleh mempertimbang untuk menambah lagi bilangannya," katanya lagi.
Pemeteraian MOU dibuat untuk menamatkan embargo pengambilan pekerja asing dari Bangladesh untuk semua sektor namun proses pengambilan masih tertangguh sementara menunggu hasil mesyuarat JWG.