Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik kesediaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk tidak melewatkan PRU15 andainya BN telah bersedia untuk menghadapinya.
Zahid berkata jentera BN telah berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi pilihan raya dan memberi gambaran gerak kerja kali ini mungkin berbeza berbanding PRU sebelumnya.
"Saya suka dengan apa yang diperkatakan oleh perdana menteri kita tadi iaitu pilihan raya umum tidak akan ditangguhkan walau sesaat pun. Bila? Bila-bila pun boleh," katanya dalam sidang media selepas Konvensyen BN di ibu negara hari ini.
Dalam ucapannya dalam acara itu, Ismail yang juga naib presiden Umno menegaskan yang dia tidak akan melewatkan "walau sesaat" bagi mengadakan PRU15 jika BN sudah bersedia.
Justeru, Ismai berkata, dia akan membincangkan bersama pimpinan tertinggi BN bagi memutuskan tarikh untuk ia dijalankan.
“Kalau BN sudah bersiap sedia saya tak akan melewatkan sesaat pun PRU15 seperti dipersetujui sebelum ini dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) lalu, PRU15 akan dibincangkan bersama lima pimpinan tertinggi," kata Ismail.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata BN sedia bekerjasama dengan mana-mana parti, termasuk selepas PRU15, demi meraih majoriti dua pertiga di Parlimen.
"Kita harus memikirkan bahawa politik ini adalah dinamik. Kedinamikan politik ini harus dilihat dari segi keperluan. Keperluan untuk menjalin kerjasama dengan sesiapa sahaja yang bersetuju dengan dasar dan paksi BN," katanya.
Katanya lagi, majoriti dua pertiga adalah satu keperluan agar kerajaan yang dibentuk tidak tergugat termasuk dengan tindakan ahli parlimen yang melompat parti.