Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Beberapa ahli parlimen tampil menyuarakan pandangan mereka berhubung kenyataan Nurulhidayah, anak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, bahawa wanita tidak dilahirkan sebagai pemimpin, dalam satu wawancara baru-baru ini.

Ahli parlimen Segambut Hannah Yeoh, yang juga bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, menyifatkan wanita yang berfikir secara bijak tidak akan membuat kenyataan sedemikian. 

“Tiada ibu yang akan beritahu kepada anak perempuan mereka yang anak perempuan tidak dilahirkan untuk menjadi pemimpin.

“Adakah ini didikan pemikiran dalam keluarga pemimpin kanan Umno? 

“Kita tidak berada dalam keadaan yang selamat apabila mereka memimpin (negara),” kata Yeoh ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Hannah Yeoh

Sambil menyifatkan kenyataan Nurulhidayah sebagai menjijikkan dan merendahkan martabat wanita, Yeoh berkata dia selalu berasa keliru apabila melihat dasar tidak adil yang melibatkan wanita di negara ini pada 2022.

"Tetapi apabila saya mendengar sendiri bagaimana anak perempuan presiden Umno bercakap - saya dah faham," katanya.

Dia juga menggesa Wanita Umno membetulkan sikap ini serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun dan timbalannya Siti Zailah Mohd Yusoff bersuara mengenai isu ini.

Fuziah: Kita semua sama di sisi Allah

Sementara itu, ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh turut senada dengan Yeoh dengan menyifatkan kenyataan Nurulhidayah adalah "penghinaan kepada wanita dan manusia".

Fuziah berkata Islam dengan jelas menyatakan bahawa setiap manusia adalah pemimpin di muka bumi ini.

Khalifah fil ard (khalifah di muka bumi). Ini bermakna semua adalah wakil Tuhan di bumi ini dan kita semua adalah pemimpin.

“Kita semua sama di sisi Allah. Yang membezakan kita ialah takwa kita,” jelasnya.

Fuziah Salleh

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyenaraikan pemimpin-pemimpin wanita di Malaysia yang telah menyumbang untuk negara. 

“Saya ingin melihat dia katakan ini kepada (bekas menteri) Rafidah Aziz, (pro-canselor Universiti Malaya) Aishah Ong, (presiden Pure Life Society) A Mangalam dan ramai lagi pemimpin wanita yang menyumbang di negara ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Beberapa ahli parlimen lain juga mengulas apa yang dikatakan oleh Nurulhidayah melalui media sosial mereka, seperti ahli parlimen Kulai Teo Nie Ching dan ahli parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. 

Dalam videonya, Teo menunjukkan bahawa dia menjadi ahli parlimen ketika berusia 27 tahun, manakala Yeoh adalah Speaker DUN Selangor wanita pertama pada usia 34 tahun.

Tambahnya, ahli parlimen Bakri Yeo Bee Yin pada masa sama pernah dilantik sebagai Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di bawah pentadbiran Pakatan Harapan pada usia 35 tahun.

“(Itu) portfolio yang kini dikendalikan oleh tiga menteri yang berbeza.

"Jangan sesekali percaya bahawa wanita tidak dilahirkan untuk menjadi pemimpin," kata Teo.

Dah 2022 ni, kata Syed Saddiq 

Syed Saddiq pula berkata dia tidak faham mengapa Nurulhidayah memperkecilkan keupayaan wanita untuk menjadi pemimpin.

“Saya tak faham kenapa nak merendahkan keupayaan wanita memimpin. Dah tahun 2022 ni. 

“Pemikiran kolot dan tidak sensitif macam ni dah kena buang jauh-jauh,” ciapnya. 

Syed Saddiq

Nurulhidayah berkata demikian dalam wawancara dengan sebuah akhbar ketika ditanya pendiriannya berkaitan hak-hak wanita dan perwakilan wanita dalam politik.

“Hak wanita dalam politik? Wanita tidak dilahirkan sebagai pemimpin tau. 

“Jadi, ya, wanita tidak dilahirkan sebagai pemimpin. 

“Lelaki yang dilahirkan sebagai pemimpin. Jadi untuk hak asasi manusia, hak asasi wanita, saya rasa semua patut ada hak. 

“Kerana kita semua manusia,” katanya dalam wawancara dengan Sinar Daily.

Susulan kritikan orang ramai, dia kemudian memuatnaik petikan al-Quran di Instagram dan menjelaskan kenyataannya.

Dia berkata tidak ada isu untuk wanita menjadi "sebahagian daripada pasukan kepimpinan" seperti menjadi ahli parlimen, Adun atau pemilik syarikat.

“Yang saya maksudkan adalah kepimpinan tertinggi seperti perdana menteri, menteri besar, ketua menteri dan yang seangkatan dengannya.

“Walaupun setinggi mana dan sehebat manapun wanita, jadilah wanita yang sentiasa menjadi pendokong kejayaan dan kelemahan bagi mereka yang bergelar lelaki.

“Tanpa wanita, siapalah lelaki,” katanya. 

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS