Para peserta Konvensyen BN terus bangun dan bersorak apabila pengerusi gabungan itu, Ahmad Zahid Hamidi melontarkan pertanyaan siapa yang mahukan PRU15 diadakan dalam masa terdekat iaitu tahun ini.
Gesaan itu dilontarkan di hadapan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam acara yang berlangsung di Kuala Lumpur, hari ini.
"Siapa mahu PRU tahun ini? Siapa mahu PRU dalam masa terdekat...bangun," disambut dengan sorakan oleh peserta Konvensyen BN.
"Kami percaya kepada perdana menteri untuk bincang dengan top five masa yang sesuai untuk buat PRU.
"Tetapi BN sudah bersedia untuk PRU dalam masa terdekat ini. Do it as soon as possible," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Konvensyen BN.
Ahmad Zahid berkata, PRU14 sudah berlalu selama empat tahun dan PRU seterusnya boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.
Katanya, BN dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi PRU15 dan setiap parti komponen perlu berpegang pada prinsip bahawa mereka bertanding atas satu panji iaitu BN.
"PRU14 sudah lebih empat tahun berlalu. Ertinya PRU ke-15 boleh berlangsung pada bila-bila masa. BN tidak boleh leka. Segala persiapan menghadapi PRU seharusnya sudah mencapai tahap tertinggi.
"Dan saya benar-benar berharap, semua komponen BN harus lebih banyak terlibat dalam kerja-kerja teknikal pilihan raya. Kita perlu bekerja dan bersedia untuk menang," katanya.