Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan pihak polis di Tanah Merah, Kelantan, semalam, selepas disyaki merogol anak kandung perempuan berusia 14 tahun.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, DCP Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa kira-kira jam 11.55 pagi semalam.

Menurutnya, berdasarkan keterangan mangsa, kejadian itu berlaku sejak dia berusia 11 tahun dan kejadian terbaru berlaku kira-kira jam 2.00 pagi semalam di kediaman mereka.

"Bertindak atas laporan polis yang dibuat, pasukan siasatan dari bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah bergegas ke tempat kejadian.

"Hasil soal siasat yang dijalankan, mangsa menyatakan telah dirogol ayah kandungnya sejak berumur 11 tahun.

“Perkara ini turut terbongkar apabila mangsa menceritakan tentang kejadian yang berlaku kepada guru kaunseling sekolah di mana kali terakhir suspek melakukan perbuatan tersebut pada 31 Mei lalu semasa mangsa tidur dalam bilik," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Susulan itu, Muhamad Zaki berkata mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan selain akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, suspek pula telah ditahan pada jam 6.30 petang semalam di pekarangan wad kecemasan Hospital Tanah Merah.

"Semakan dibuat mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau. Hasil soal siasat awal yang dijalankan mendapati suspek mengaku merogol mangsa sebanyak tiga kali.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut seksyen 376B Kanun Keseksaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS