Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita tak dilahirkan sebagai pemimpin - Nurulhidayah Zahid
Diterbitkan:  Jun 1, 2022 12:26 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Wanita tidak dilahirkan sebagai pemimpin, kata Nurulhidayah, anak sulung presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Nurulhidayah berkata demikian dalam wawancara dengan sebuah akhbar ketika ditanya pendiriannya berkaitan hak-hak wanita dan perwakilan wanita dalam politik.

“Hak wanita dalam politik? Wanita tidak dilahirkan sebagai pemimpin tau. 

“Jadi, ya, wanita tidak dilahirkan sebagai pemimpin.

“Lelaki yang dilahirkan sebagai pemimpin. Jadi untuk hak asasi manusia, hak asasi wanita, saya rasa semua patut ada hak. 

“Kerana kita semua manusia,” katanya dalam wawancara dengan Sinar Daily.

Nurulhidayah sendiri pada 2018 bertanding merebut jawatan dalam Wanita Umno tetapi tidak berjaya.

Ditanya sama ada dia akan bertanding dalam pilihan raya depan, secara berseloroh dia menjawab: 

“PRU15 tidak. PRU16 mungkin”.

Sementara itu, di media sosialnya selepas itu, Nurulhidayah berkongsi ayat al-Quran daripada surah al-Nisa ayat 34  berkaitan peranan lelaki sebagai pemimpin dan pengawal terhadap kaum wanita.

Menjelaskan perbincangan itu, dia berkata tiada masalah untuk wanita menjadi sebahagian daripada pasukan kepimpinan seperti ahli parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri atau pemilik syarikat.

“Yang saya maksudkan adalah pucuk kepimpinan tertinggi seperti perdana menteri, menteri besar, ketua menteri dan yang seangkatan dengannya,” katanya.

“Walaupun setinggi mana dan sehebat manapun wanita, jadilah wanita yg sentiasa menjadi pendukung kejayaan dan kelemahan bagi mereka yang bergelar lelaki,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS