Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan: Dr Dzul 'tekad' tak bertanding PRU15
Diterbitkan:  Jun 1, 2022 7:30 AM
Dikemaskini: Jun 1, 2022 3:28 AM

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad menyuarakan hasrat untuk tidak bertanding dalam PRU15, menyifatkan tempoh dua penggal memegang kerusi itu sudah memadai buatnya.

Memetik laporan The Malaysian Insight semalam, Dzulkefly yang juga pengarah strategik Amanah berkata "tekadnya sudah bulat" dan ia telah pun dimaklumkan kepada pimpinan parti.

“Saya sudah dua penggal di Parlimen dan 22 bulan sebagai menteri. Saya harap saya boleh lakukan lebih banyak lagi.

“Setakat ini apa yang saya bimbang ia sudah selesai. Ia sudah pun berakhir,” katanya seperti dipetik.

Menurutnya, khidmat selama dua penggal sudah cukup untuk ahli politik dan sudah tiba masanya untuk memberi ruang kepada pemimpin muda.

“Dalam kes ini ia akan memberikan perubahan kepimpinan yang konsisten dan berterusan serta inilah yang hilang dalam politik Malaysia," katanya lagi.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata dia selepas ini ingin memainkan peranan lebih penting dalam membentuk pemimpin muda di Malaysia.

Kenyataan itu beberapa minggu selepas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming mengumumkan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusinya pada PRU akan datang.

Tewas dalam PRU 1999 dan 2004, Dzulkefly mula menjadi ahli parlimen setelah menang di Kuala Selangor pada PRU 2008.

Dia kemudian tewas di tangan calon BN Irmohizam Ibrahim pada PRU dengan perbezaan 460 undi sebelum kembali merampas semula kerusi itu pada PRU lalu dengan majoriti 8,498 undi.

Dia turut dilantik menjadi menteri kesihatan sehingga kejatuhan kerajaan PH pada Februari 2020.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS