Keluarga mendiang S Vinosiny akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Universiti Utara Malaysia (UUM) atas dakwaan kelalaian sehingga menyebabkan kematian pelajar berusia 21 tahun itu.
Perkara itu dimaklumkan peguam keluarga, M Manoharan yang berkata mereka akan menuntut ganti rugi daripada universiti memandangkan ada bukti jelas berlakunya kelalaian.
"Kami tentunya akan saman universiti dan tunggu laporan bedah siasat. Apa-apa pun, Vinosiny meninggal dunia di usia yang amat muda. Kami tidak mahu insiden sama berlaku kepada orang lain," kata Manoharan ketika pertemuan antara pengurusan UUM dan keluarga di Klang, hari ini.
Dalam pertemuan itu, bapa mendiang, R Sivakumar Rajoo turut menyuarakan pandangan sama kepada Naib Canselor UUM Haim Hilman Abdullah selepas Haim menyuarakan permohonan maaf.
"Saya akan tuntut keadilan. Saya akan lakukan apa yang perlu dilakukan. Saya akan lawan demi anak perempuan saya, rohnya dan masa depan anak-anak," kata Sivakumar.
Sivakumar juga memberitahu Haim dia akan ke Sintok, Kedah pada Khamis ini untuk memberi keterangan kepada polis dan dia juga berhasrat melakukan acara sembahyang ringkas di bilik hostel anaknya.
Haim yang duduk di sebelahnya terus memberi jaminan pihak universiti tidak akan menghalang hasratnya dan akan memberi kerjasama penuh kepada keluarga.
Dalam pertemuan hari ini, Sivakumar menceritakan bahawa UUM adalah piliah pertama anaknya ketika memohon untuk melanjutkan pelajaran kerana sukatan pelajaran sistem maklumat ada dalam kursus perakaunan yang dipilihnya.
"Apabila permohonannya diterima, dia begitu gembira sebab cita-citanya untuk jadi akauntan. Tetapi kini impiannya itu tidak akan terlaksana," katanya yang jelas dalam kesedihan.
Turut hadir dalam pertemuan selama 40 minit itu adalah lapan pegawai pengurusan UUM, termasuk pengetua hostel Inapsis Sime Darby - hostel yang dihuni Vinosiny - Mohd Fairus Abd Majid.
Haim berulang kali menyuarakan takziah dan memohon maaf terhadap keluarga dan dia turut bersedih dengan kematian Vinosiny.
Vinosiny meninggal dunia di dalam bilik hostelnya di UUM kampus Sintok, Kedah pada 21 Mei lalu.
Dia disyaki terkena renjatan elektrik dan pihak keluarga mendakwa ia ditunjukkan menerusi kecederaan pada badan dan dapatan daripada bedah siasat.
UUM juga didakwa tidak berterus-terang berhubung kematiannya.
Bapa Vinosiny telah membuat laporan polis terhadap UUM dengan mendakwa kemungkinan berlaku kecuaian oleh pentadbir di kampus Sintok.