Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
UUM ziarah keluarga, mohon maaf atas kematian Vinosiny

Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini memohon maaf terhadap keluarga mendiang S Vinosiny berhubung kematian pelajar itu pada 21 Mei lalu.

Naib Canselor UUM Profesor Dr Haim Hilman berkata pihak universiti sedia untuk menawarkan sebarang bantuan terhadap keluarga.

Haim juga menyuarakan komitmen untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak keluarga untuk mengetahui perkara sebenar melibatkan kematian pelajar perakaunan berusia 21 tahun itu.

"Saya mohon maaf dan saya bersama abang (bapa mendiang, R Sivakumar Rajoo) dan keluarga untuk mengetahui punca (kematian).

"Sebab itu saya datang hari ini untuk bertanya abang apa yang saya boleh bantu, apa yang universiti boleh bantu.

"Saya tak nak abang rasa pihak universiti nak simpan atau sorok apa-apa, tidak," kata Haim kepada Sivakumar ketika pertemuan di rumah keluarga di Klang, hari ini.

Turut hadir dalam pertemuan selama 40 minit itu adalah lapan pegawai pengurusan UUM, termasuk pengetua hostel Inapsis Sime Darby - hostel yang dihuni Vinosiny - Mohd Fairus Abd Majid.

Haim berkata pihak UUM telah pun menyerahkan pampasan RM1,500 kepada keluarga dan dalam proses menguruskan tuntutan insurans mendiang.

Dalam pertemuan hari ini, Haim berulang kali menyuarakan takziah dan memohon maaf terhadap keluarga dan dia turut bersedih dengan kematian Vinosiny.

Ketika ditanya berkenaan perkembangan laporan bedah siasat, dia berkata polis masih menunggu laporan penuh yang mungkin mengambil masa beberapa minggu.

"Semalam saya bertemu dengan ketua polis Kedah (Wan Hassan Wan Ahmad). (Laporan penuh) paling awal beberapa minggu, secara khusus tak pasti (tarikh dapat laporan) tetapi kes ini jadi keutamaan.

"Saya harap laporan disegerakan. Saya juga seorang ayah, saya harap laporan ini akan dapat merungkai segalanya," katanya lagi.

Kerja penyelenggaraan

Berhubung dakwaan berlakunya kelalaian, Haim menjelaskan kerja penyelenggaraan di kampus dijalankan mengikut jadual.

Dia berkata walaupun kampus ditutup hampir dua tahun kerana wabak Covid-19, bangunan masih dijaga dengan baik dan tidak timbul isu ia ditinggalkan begitu saja.

"Suruhanjaya Tenaga juga sudah buat pemeriksaan (dan dapati) semua dalam keadaan baik," katanya.

Namun Haim berkata dia tidak dapat mendedahkan dapatan pemeriksaan itu memandangkan laporan rasmi masih belum dikeluarkan.

"Dari aspek keselamatan, semua prosedur berkaitan dengan keselamatan dalam keadaan baik seperti yang dijadualkan," katanya lagi.

Pada masa sama, dia mengakui peringatan terhadap pelajar daripada bercakap secara terbuka, menganjurkan atau menghadiri apa-apa acara berkaitan kematian S Vinosiny adalah "salah komunikasi".

Pada masa sama dia juga mengaku kenyataan yang dikeluarkan oleh Hal Ehwal Pelajar (HEP) UUM adalah "kasar" dan kenyataan rasmi sepatutnya dikeluarkan oleh unit komunikasi korporat.

"Saya mohon maaf atas salah faham dan silap komunikasi. Kita telah tarik balik kenyataan dan pelajar dibenarkan bersuara secara terbuka," katanya lagi.

Terdahulu hari ini, UUM dalam penjelasannya menyatakan walaupun sebarang acara solidariti tidak dihalang, pelajar dinasihatkan agar berhemah dalam tindakan mereka.

Vinosiny meninggal dunia di dalam bilik hostelnya di UUM kampus Sintok, Kedah pada 21 Mei lalu.

Dia disyaki terkena renjatan elektrik dan pihak keluarga mendakwa ia ditunjukkan menerusi kecederaan pada badan dan dapatan daripada bedah siasat.

UUM juga didakwa tidak berterus-terang berhubung kematiannya.

Bapa Vinosiny telah membuat laporan polis terhadap UUM dengan mendakwa kemungkinan berlaku kecuaian oleh pentadbir di kampus Sintok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS