Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sebuah NGO hari ini mengadakan pertemuan dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bagi membangkitkan masalah buli di sekolah, susulan kembalinya pembelajaran secara fizikal pada awal tahun ini.

Dalam pertemuan itu, Suara Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa) turut membawa bersama beberapa mangsa buli, keluarga mereka dan juga peguam.

Pertemuan yang mengambil masa kira-kira sejam dan bermula jam 11 pagi di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya itu bagaimanapun dibuat secara tertutup.

Dalam sidang media selepas pertemuan, Pengerusi Aswa Wan Azliana Wan Adnan berkata pihaknya turut menyerahkan memorandum berhubung masalah itu kepada Dr Mahathir.

Memorandum itu ditujukan kepada Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Jidin dan menurut Wan Azliana, akan turut diserahkan kepada Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Perdana Menteri Bahagian (Hal Ehwal Undang-undang).

“Kami beri peluang Tun Dr Mahathir dengar kesan buli ini dari mulut mangsa itu sendiri dan ahli keluarga mangsa.

“Saya boleh katakan Tun bersetuju dengan apa yang dibentangkan selepas mendengar luahan hati mangsa.

"Sudah tiba masanya ditubuhkan satu akta khusus untuk kes buli ini. Sabitan di bawah Kanun Keseksaan sahaja tidak mencukupi,” kata Wan Azliana.

Katanya lagi, dengan sokongan yang diberikan oleh Mahathir, diharap kerajaan setuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang mengkaji usul yang terkandung dalam memorandum tersebut.

Memorandum itu antaranya mengusulkan penggubalan akta anti buli bagi menangani masalah itu.

Selain itu, ia juga menggesa prosedur sedia ada bagi menangani masalah buli ditambah baik dengan tindakan disiplin diseragamkan di setiap sekolah.

Ia juga menggesa tugas warden diteliti agar faktor kecuaian pihak sekolah dalam memantau gejala itu dapat dielakkan.

Mengulas lanjut, Wan Azliana berkata hukuman buang sekolah atau gantung sekolah 14 hari tidak sepadan dengan kesan mental dan fizikal yang ditanggung mangsa "sepanjang hayat".

“Mangsa buli nak bercakap tetapi mangsa tidak diberi ruang untuk bercakap kerana pihak sekolah tidak mengambil serius isu buli ini.

“Ada sesetengah sekolah yang minta untuk selesaikan kes buli ini secara dalaman dan ‘senyap’.

“Kalau kita tengok rekod-rekod lepas, akhir sekali, mangsa buli yang berpindah sekolah kerana takut. Tiada sesiapa yang bersuara bagi pihak mangsa,” katanya lagi.

Di mendakwa kerana penyelesaian secara dalamanlah menyebabkan pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Zulfarhan Osman Zulkarnain yang dibuli akhirnya meninggal dunia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS