Dakwaan menyatakan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mempunyai jumlah sokongan mencukupi untuk kembali menjadi perdana menteri kekal sebagai dakwaan sehingga kini, kata Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Mukhriz Mahathir.
Hal itu kerana. katanya, dalam keadaan macam mana sekalipun perkara itu perlu dibuktikan dan Muhyiddin tidak boleh menggunakan pendekatan sama seperti diambilnya ketika Langkah Sheraton.
"Sebab semasa Langkah Sheraton berlaku dulu, cara dia nak buktikan kononnya mempunyai jumlah sokongan yang cukup hanyalah dengan surat yang ditandatangani presiden parti masing-masing menyatakan ahli parlimen parti itu menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.
"Ia termasuk daripada Bersatu apabila dia sendiri tandatangani dan menamakan dirinya sebagai perdana menteri.
"Dia nyatakan semua 36 ahli parlimen Bersatu menyokong, walhal kita tahu enam daripada mereka tidak sokong.
"Jadi pendekatan itu sudah tak terpakai saya rasa.
"Selepas ini (Muhyiddin) tak bolehlah nak ulang taktik sama yang terbukti salah," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pemukiman Pejuang Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Mohd Shafie Apdal yang memaklumkan dia diberitahu Muhyiddin mempunyai cukup sokongan untuk kembali menjadi perdana menteri.
Terdahulu, Mohd Shafie mendakwa dia dihubungi anggota Parlimen Pagoh berkenaan kira-kira dua bulan lalu bagi mendapatkan sokongan untuk menjadi perdana menteri semula.
Ahli Parlimen Semporna itu mendakwa, Muhyiddin memberitahunya dia telah mendapat sokongan 119 daripada ahli Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi.
Menurut laporan The Star, Mohd Shafie mendedahkan Muhyiddin mendakwa telah membincangkan perkara itu dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang bersetuju menyokongnya.
Sementara itu Mukhriz yang juga anggota Parlimen Jerlun berkata, Pejuang tidak mempedulikan percaturan politik bagi menumbangkan kerajaan sedia ada atau menukar perdana menteri.
"Kami empat orang saja (ahli parlimen Pejuang), buat masa ini kami hanya fokus kepada persiapan untuk hadapi Pilihan Raya Umum ke-15," jelasnya.