mk-logo
Berita
Lepas PKR selesai memilih, kini masa kukuhkan PH - Loke
Diterbitkan:  May 31, 2022 2:02 PM
Dikemaskini: 6:02 AM

Anthony Loke berkata selepas berakhirnya pemilihan PKR, semua pihak kini perlu memberikan tumpuan kepada memperkukuh kerjasama dalam kalangan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Setiausaha Agung DAP itu menjelang kedatangan PRU ke-15 semua pemimpin PH perlu merapatkan saf dan menggembleng tenaga untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat kepada gabungan tersebut.

"Dengan kerjasama yang erat dan semangat berpasukan yang tinggi serta fokus kepada perjuangan rakyat, PH mampu bangkit semula dalam PRU ke-15," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Ahli parlimen Seremban itu berkata demikian selepas PKR selesai menjalankan pemilihan kepemimpinan di pelbagai peringkat, dengan yang paling menarik perhatian adalah jawatan timbalan presiden.

Anwar Ibrahim kekal sebagai presiden selepas dia tidak dicabar sesiapa.

Untuk jawatan nombor dua PKR, bekas menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna bertanding bersama bekas ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Rafizi mengatasi Saifuddin dengan kelebihan yang agak besar. Ia sedikit sebanyak mencetuskan polemik mengenai kedudukan PH dan idea 'khemah besar' yang dicadangkan suatu ketika dulu.

Ketika Saifuddin - yang juga setiausaha agung PKR - dilihat cenderung kepada idea berkenaan, Rafizi pula secara jelas mempunyai idea lain.

Bagi jawatan naib presiden, ia dimenangi Menteri Besar Selangor, Amirudin Shaari; Menteri Besar Negeri Sembilan Aminudin Harun; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang; dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dalam kenyataan sama Loke juga menyatakan penghargaannya kepada Saifuddin yang selama ini menjalin hubungan dan kerjasama yang rapat dalam kalangan PH.

Banyak berperanan di belakang tabir, Lok berkata, mereka bersama-sama mengurus dan menyelesaikan apa sahaja isu yang timbul dalam hubungan di antara PKR dan DAP.

"Hubungan kerja yang rapat ini telah membentuk satu persefahaman dan kepercayaan yang tinggi antara satu sama lain.

"Saya berharap beliau akan terus berjuang dan menyumbang tenaga demi keutuhan PH," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS