Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis anugerah pingat ‘Jasamu Dikenang’ pada anjing pengesan 

Chulio, seekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima pingat ‘Jasamu Dikenang’ atas kejayaan mengesan mayat lelaki warga emas pada 11 Mei lepas.

Anjing jenis German Shepherd dari United Kingdom itu menerima pingat daripada Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah hari ini.

Pada majlis tersebut, Mohamad Roy menyampaikan pingat tersebut kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Gajah Supt Tan Boon Hooi yang kemudiannya mengalungkan pingat itu pada leher Chulio.

Pengendali Chulio, Koperal Tony Matius Farang ketika ditemui pemberita berkata Chulio yang berusia lima tahun menerima penghargaan itu atas kejayaannya mengesan seorang mangsa yang dilaporkan hilang baru-baru ini. 

Beliau berkata Chulio yang diberi latihan setiap hari mempunyai kepakaran khusus untuk mengesan mayat telah terlibat dengan lebih 50 operasi sepanjang berkhidmat sejak lima tahun lepas dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

Tony Matius berkata pada April lepas, Chulio berjaya menemukan seorang mangsa yang tertimbus di bawah tanah di Cameron Highlands, Pahang selain turut menjumpai seorang lelaki warga emas di sebuah kawasan paya di Tronoh dekat Batu Gajah selepas dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya.

Sementara itu, Mohamad Roy berkata Chulio dapat menemukan mayat warga emas itu dalam tempoh setengah jam sahaja selepas operasi mencari dan menyelamat dimulakan pada hari tersebut (11 Mei).

"Kawasan mayat lelaki itu ditemukan adalah di celah-celah tumbuhan liar di kawasan berpaya dan jarang dilalui oleh orang awam. Jadi, dalam tempoh singkat sahaja Chulio dapat menjumpai mangsa dicari," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS