Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengarah syarikat didakwa tipu lebih RM7.3 juta

Seorang pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas pertuduhan memperdaya sebuah syarikat lain sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM7.3 juta.

Teh Teng Cheng, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut kertas pertuduhan, Teh didakwa melakukan kesalahan itu di Alliance Steel (M) Sdn Bhd, Taman Perindustrian Malaysia China-Kuantan (MCKIP), dekat Gebeng, Kuantan pada 28 Jun 2019.

Teh dituduh memperdayakan Alliance Steel dengan mengemukakan Manual Perubahan Akaun Penerimaan Pembayaran Projek hingga mendorong syarikat itu membayar RM7,382, 813 ke akaun syarikat Sureland Industrial Fire Safety (M) Sdn Bhd miliknya.

Pendakwaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dilakukan timbalan pendakwa raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin.

Jika sabit kesalahan Teh boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan dan denda.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan RM2 juta sebagai ikat jamin, namun dibantah peguam tertuduh, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan RM750,000 sebagai ikat jamin dengan syarat tambahan dua penjamin warganegara Malaysia.

Selain itu, Teh perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan sehingga selesai perbicaraan dan menyerahkan pasport antarabangsa miliknya kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 30 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS