Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafee demam - bicara kes Najib pinda audit 1MDB ditangguh

Peguam Muhammad Shafee Abdullah mengalami demam panas dan sakit tekak sehinggakan suaranya serak seperti mendiang pelakon filem James Bond, Sean Connery, kata peguam memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Justeru, peguam bela Najib Razak, Rahmat Hazlan meminta perbicaraan laporan audit 1MDB bekas perdana menteri itu pada hari ini dikosongkan. Shafee ialah peguam utama tertuduh.

“Shafee mengalami demam panas dan sakit tekak. Apabila dia (Shafee) menelefon (saya awal pagi ini untuk memaklumkan tentang perkara ini), dia kedengaran seperti Sean Connery,” kata Rahmat.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak ada bantahan terhadap permohonan untuk menangguhkan perbicaraan hari ini.

"Connery sudah tiada, jadi itu bukan contoh yang baik," kata hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan, sebelum membenarkan permohonan mengosongkan perbicaraan hari ini.

Untuk rekod, Connery meninggal dunia pada usia 90 tahun pada 31 Okt 2020.

Mahkamah kemudian menetapkan Jumaat minggu ini bagi mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil tertuduh bersama dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy supaya memberi keterangan terhadap Najib.

Perbicaraan utama juga telah ditetapkan untuk disambung semula pada 21, 25 dan 28 Okt.

Sebelum ini, pihak pendakwaan memohon memanggil Arul Kanda untuk bertindak sebagai saksi terhadap Najib. Bagaimanapun, pasukan pembelaan bekas perdana menteri menyatakan mereka akan mengemukakan bantahan terhadap permohonan itu.

Bergantung kepada kekuatan keterangan Arul, tertuduh bersama boleh diberikan pembebasan atau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada kes jenayah.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi menghalang sebarang tindakan terhadapnya.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan itu.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa keputusan untuk membuat pindaan telah diambil semasa mesyuarat pada 24 Feb 2016, di pejabat ketua setiausaha negara ketika itu Ali Hamsa.

Perkara ini didakwa dilakukan untuk mengalih keluar atau mengubah bahagian tertentu laporan audit 1MDB, termasuk menggugurkan isu kehadiran Low Taek Jho (Jho Low) - yang kini dikehendaki pihak berkuasa - dalam mesyuarat lembaga pengarah syarikat pelaburan negara itu.

Satu lagi isu yang didakwa digugurkan daripada laporan audit 1MDB ialah dua penyata kewangan 2014 yang bercanggah bagi dana kekayaan negara.

Selain Ali dan Arul Kanda, orang lain yang hadir pada mesyuarat itu ialah bekas ketua juruaudit negara Ambrin Buang, bekas pegawai Jabatan Audit Negara Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, bekas setiausaha sulit utama Najib. Shukry Salleh serta wakil Jabatan Peguam Negara ketika itu Dzulkifli Ahmad.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS