Gandingan Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli dalam menerajui PKR adalah "tiket terbaik" untuk parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang secara tidak rasmi memenangi jawatan naib presiden PKR berkata keputusan pemilihan PKR membuktikan parti itu tidak ketandusan bakat.
"Saya bersyukur kerana keputusan tidak rasmi pemilihan PKR telah menunjukkan saya dipilih sebagai salah seorang daripada empat naib presiden PKR dan mempertahankan jawatan ketua cabang Setiawangsa.
"Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada saudara Rafizi Ramli kerana berjaya dipilih sebagai sebagai timbalan presiden; saudara Amirudin Shari, Chang Lih Kang dan Aminuddin Harun yang dipilih dalam barisan naib presiden bersama saya.
"Dengan gandingan Anwar-Rafizi, saya yakin ini adalah tiket terbaik untuk PKR menghadapi PRU ke-15," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi jawatan ketua cadang PKR Setiawangsa, Nik Nazmi dicabar pengarah dan juga pelakon Afdlin Shauki.
Bagaimanapun dia berjaya menyingkirkan selebriti itu selepas memperoleh 482 undi, sementara Afdlin sekadar berpuas hati dengan 372 undi.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata dengan kepimpinan baru dalam kalangan anak muda, ia menjadi lembaran baru kepimpinan PKR.
"Masa depan parti juga positif, Rafizi berusia 44 tahun, manakala Amirudin (Shaari), 42; Lih Kang, 41, saya 40.
"Proses ini boleh menjadi lembaran baru untuk parti kita, menandakan pembaharuan dan dedikasi kita terhadap perjuangan Reformasi.
"Pemilihan kali ini memperlihatkan PKR tidak kekurangan bakat, komitmen, dan semangat dalam kalangan ahli-ahlinya," katanya lagi.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata PKR harus membuat sesuatu bagi menangani peratusan keluar mengundi adalah rendah untuk pemilihan parti.
"Ini adalah petanda bahawa lebih banyak perlu dilakukan untuk mengaktifkan akar umbi PKR," tambahnya lagi.