Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu Kg Sungai Baru: Dr M dah hantar surat kepada PM

Bekas perdana menteri Mahathir Mohamad telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berhubung isu isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Perkara itu disahkan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mukhriz Mahathir dalam sesi perjumpaan bersama wakil dan waris penduduk kampung berkenaan hari ini.

“Tun (Mahathir) telah mengutuskan satu surat kepada perdana menteri minggu lalu dan minta supaya diberi perhatian perkara ini dan lakukan yang terbaik, serta beri ruang kepada mereka ini (penduduk) menyampaikan dan meluahkan isi hati mereka,” kata Mukhriz dalam sesi berkenaan.

Bagaimanapun Mukhriz berkata setakat ini masih belum ada sebarang respons daripada Ismail.

“Setakat ini tak dengar apa lagi. Yalah dia pun sibuk pergi luar negara,” katanya sinis.

Diminta mengulas lanjut intipati surat tersebut, Mukhriz berkata antaranya adalah memberi penekanan untuk mengekalkan kewujudan masyarakat Melayu di kawasan bandar.

“Pandangan kami daripada Pejuang pula ialah kawasan-kawasan bandar yang diduduki oleh orang Melayu ini sepatutnya tidak boleh disentuh.

“Kalau boleh kita nak majukan pun, biarlah orang Melayu sendiri yang dapat duduk di situ kerana kita nak kekalkan kependudukan Melayu di dalam bandar khususnya di Kuala Lumpur.

"Jadi kita harap kerajaan akan campur tangan berkenaan hal ini dan lakukan dengan yang terbaik bagi menjaga kepentingan tersebut. Tun juga minta kalau boleh wakil-wakil ini dapat bertemu dengan perdana menteri,” katanya.

Dia juga menegaskan agar hak penduduk berkenaan untuk menuntut pampasan yang setimpal tidak dinafikan memandangkan nilai tanah di kawasan itu yang begitu tinggi.

Sementara itu, Mukhriz berkata Pejuang juga menawarkan bantuan guaman secara percuma kepada penduduk Kampung Sungai Baru dan prosesnya juga sudah berjalan sejak minggu lalu.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru melibatkan 67 unit rumah teres dan lapan blok pangsapuri atau 264 unit rumah pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak tahun 2016.

Pada Julai 2021, penduduk di Kampung Sungai Baru telah menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.

Namun penduduk khususnya penghuni rumah teres tidak setuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur (PTGWPKL).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS