Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kanak-kanak hilang dipercayai jatuh ke sungai
Diterbitkan:  May 28, 2022 11:12 AM
Dikemaskini: 3:28 AM

Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari sebuah rumah rakit di Bukit Rangin, dekat Kuantan, malam tadi.

Mangsa dikatakan disedari hilang oleh ahli keluarganya kira-kira jam 11.15 malam dan bapanya cuba mencari di kawasan berkenaan sebelum melaporkan kejadian tersebut kepada polis kira-kira 45 minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Zahari Wan Busu, berkata laporan mengenai kehilangan mangsa dibuat kira jam 12.30 pagi.

"Laporan dibuat bapa mangsa, seorang lelaki berusia 50 tahun yang juga pengusaha rumah rakit berkenaan," katanya hari ini.

Menurut Wan Zahari berdasarkan laporan itu, mangsa yang dikenali sebagai Siti Nur Athhiya Sofea.

Tambahnya, pengadu memaklumkan dia tidak mempunyai masalah dengan mana-mana pihak dan usaha mengesan mangsa sedang giat dilakukan.

Selepas gagal menemui kanak-kanak terbabit keluarga mangsa dikatakan menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 3.23 pagi.

"Tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR) dilakukan sejak awal pagi tadi dan setakat ini, mangsa masih belum dijumpai," katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan hari ini.

Ismail berkata operasi SAR dilakukan menggunakan bot milik orang awam dan anggota yang terbabit cuba mengesan mangsa di sepanjang tebing sungai dan sekitar rumah rakit itu.

Difahamkan sebelum kejadian, ibu bapa mangsa mengadakan majlis sambutan hari raya di rumah rakit terbabit.

Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju kurung berwarna merah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS