Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kematian pelajar: Bapa buat laporan polis terhadap UUM
Diterbitkan:  May 28, 2022 10:31 AM
Dikemaskini: 4:14 AM

Bapa kepada mendiang S Vinosiny telah membuat laporan polis terhadap Universiti Utara Malaysia berhubung kematian pelajar perakaunan berusia 20 tahun itu pada Sabtu lepas, mendakwa kemungkinan berlaku kecuaian oleh pentadbir di kampus Sintok.

R Sivakumar, 52, membuat laporan di balai polis daerah Klang Selatan malam tadi.

"Tujuan laporan polis ini dibuat atas ketidakpuasan hati saya tentang punca dan cara kematian mendiang anak perempuan saya yang sangat sia-sia, cara pengendalian keselamatan semua pelajar UUM dan juga cara pengendalian kematian pelajar akibat kecuaian UUM," kata Sivakumar dalam laporan polisnya yang dilihat oleh Malaysiakini.

Sivakumar menggesa polis menyiasat sama ada UUM telah menjalankan penyelenggaraan menyeluruh termasuk audit keselamatan bangunan dan bekalan elektriknya, serta keadaan asrama yang ditinggalkan kosong selama dua tahun semasa pandemik, sebelum membuka semula kampus untuk pelajar.

"Saya ingin pihak polis menjalankan siasatan yang sedalamnya untuk mendapatkan keadilan bukan sahaja untuk mendiang anak saya, tetapi kepada semua pelajar yang mempunyai kemungkinan untuk menghadapi nasib yang sama sekiranya kecuaian pihak UUM ini diteruskan.

"Pihak UUM gagal untuk memastikan semua pelajar dalam keadaan selamat dan juga kemudahan-kemudahan yang dberikan untuk penggunaan palajar-pelajar adalah dalam keadaan selamat untuk digunakan dan telah pun dijalankan," katanya.

Sivakumar berkata laporan polis yang dibuat juga akan digunakan untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap UUM.

UUM sebelum ini memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan menutup punca yang menyebabkan kematian Vinosiny.

Ini di tengah-tengah siasatan berterusan oleh polis dan Suruhanjaya Tenaga terhadap kematian Vinosiny - yang disyaki maut selepas mengalami renjatan elektrik di bilik asramanya.

Vinosiny, yang berada di semester keempat pengajian perakaunan dan sistem maklumat, kembali ke kampus seminggu sebelum tragedi itu.

Sementara itu, peguam M Manoharan yang mewakili Sivakumar berkata UUM mesti bertanggungjawab atas kecuaian.

“Kami mahu ketelusan dalam perkara itu kerana kematiannya adalah misteri,” katanya melalui mesej teks kepada Malaysiakini semalam.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS