Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Iktibar dari Winston Churchill buat kita

ULASAN | Jika kita masih ingat, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlaku layanan antara dua darjat berkaitan isu kompaun pelitup muka. Hal seperti ini berterusan dengan banyak lagi kes yang lebih besar melibatkan isu layanan dua darjat dalam sistem hukum, perundangan dan keadilan kita. Ini satu gambaran apabila politik telah korup, rakyat hilang kepercayaan maka prinsip dan hukum tak lagi dapat ditegakkan.

Naratif ini akan membawa kita menuju kepada kegagalan sebuah negara. Natijahnya bangsa ini akan miskin muflis hingga membawa pelbagai lagi krisis seperti krisis bekalan makanan dan lain-lain. Bunyinya mungkin agak keterlaluan bagi Malaysia, tapi tak mustahil kerana sejarah pernah menyatakannya.

Ketika Perang Dunia Kedua, pada Mei 1940 Winston Churcill dilantik sebagai perdana menteri Britain menggantikan Neville Chamberlain. Hanya seminggu selepas dilantik, Churcill mendapat perkhabaran bahawa tentera British telah tewas hanya dalam tempoh lima hari berperang di bumi Perancis.

Hampir 150,000 tentera British sedang terkepung di Perancis. Begitu brutal sekali operasi tentera Nazi yang dikepalai Jeneral Heinz Wilhelm Guderian. Rekod sejarah dalam buku "Der Totale Rausch" (The Total Rush) - yang diterjemah dalam bahasa Inggeris bertajuk "Blitzed" - mencatatkan bahawa askar Wehrmacht (angkatan tentera Jerman) menggunakan dadah jenis methamphetamine.

Ia satu bentuk pil dadah Pervitin yang telah diedarkan kepada berjuta-juta tentera Wehrmacht sebelum dan ketika pencerobohan Perancis pada tahun 1940. Dadah ini berfungsi untuk menjana tenaga yang membolehkan tentera Nazi beroperasi 24 jam tanpa henti dan tanpa tidur.

Pidato Churchill

Walaupun Churcill ini dari Parti Konservatif, namun dia bukan dari jalur ‘istana’. Maka dia tidak mendapat dukungan kuat oleh istana, elit politik dan kabinet perangnya. Dalam situasi yang hampir tiada harapan itu, dia bertindak nekad dengan kembali kepada rakyat. Langkah ini sebagai upaya terakhir untuk memulihkan kembali harapan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan untuk mempertahankan negaranya.

Dalam pidatonya di Parlimen, Churcill menyatakan dengan jelas matlamatnya kepada rakyat iaitu hanya satu; kemenangan untuk British dengan apa jua cara. Dia menegaskan bahawa tidak akan ada istilah "berpatah balik" dalam kempen perang ini.

Tugu Winston Churchill

Pidato Churcill dianggap hanya retorik orang nyanyuk di kalangan elit politik yang membencinya dan mereka terkejut apabila ucapan itu telah disambut oleh rakyat British hingga mendorong satu kebangkitan massa menentang penaklukan Hitler di seluruh eropah. Pidato yang dianggap retorik telah menukar persepsi ‘mustahil’ kepada ‘kita boleh’.

Kebangkitan itu dibuktikan dengan satu tindakan berani apabila ribuan orang awam telah bergabung tenaga berlayar menggunakan bot sendiri merentasi selat Inggeris menuju ke Dunkirk untuk menyelamatkan baki puluhan ribu tentera British yang terkandas dan terkepung ketika itu. Peristiwa ini dirakam dalam beberapa buah filem.

Apa Yang Berlaku Di Malaysia

Rakyat British ketika itu terkepung oleh tentera fasis Nazi. Kita juga terkepung tetapi bukan dengan tentera bersenjata sebaliknya dengan kumpulan pencuri dan perasuah yang bertanjak, yang sedang lahap menjarah harta rakyat, siang dan malam.

Kelicikan aktiviti rasuah mereka telah menjadikan rakyat lemah dan bersikap pasif. Perasaan dikhianati menjadikan rakyat hilang semangat untuk memulihkan negara ini. Lihat sahaja peratusan keluar mengundi dalam beberapa PRN lalu.

Ada yang lebih menarik lagi daripada kisah Churcill ini. Kumpulan elit politik yang menentang cara Churcill mengurus peperangan ini diketuai oleh Lord Halifax, orang penting dalam ‘di House of Lord.

Lord Halifax ini peminat King George, dengan kata lain dia ini kaki bodek raja. Halifax sebagai salah seorang ahli dalam kabinet perang telah mendesak Churcill agar berunding dan dia juga mencadangkan agar memberikan beberapa tanah British kepada Hitler dengan harapan Hitler akan berlembut dan perdamaian dapat dicapai.

Namun Churcill merasakan idea Lord Halifax ini bodoh kerana mempercayai Hitler, seorang diktator yang tamak dan gila kuasa. Cadangan Halifax ini juga dianggap hanya mahu menyelamatkan dan membodek raja, bukan rakyat dan negaranya. Malah, cadangan Halifax ini juga dianggap satu pengkhianatan kerana sanggup mempertaruhkan tanah dan kedaulatan negara kerana takut pada kekalahan.

Begitu juga di sini, ada di kalangan pemimpin kita sanggup berpakat senyap-senyap dengan gerombolan pengkhianat dan pencuri yang bertanjak hanya kerana mahu kuasa politik dan ego diri hingga sanggup membiarkan rakyat diperintah oleh regim perasuah dan pencuri yang bertanjak.

Masihkah ada harapan?

Jika tentera Wehrmacht menggunakan dadah jenis methamphetamine untuk kuat dan bertenaga dalam perang, pencuri dan perasuah yang bertanjak ini pula menggunakan wang sebagai tenaga dan kekuatan untuk membeli jiwa kita agar mendapat sokongan untuk terus memerintah dan menjarah negara ini.

Namun wang tidak akan dapat membeli segala-galanya, masih ada orang yang beriman dan bermaruah. Orang-orang yang beriman dan bermaruah ini adalah orang yang bertanjak dan bersampin. Mereka ini hanya perlu diyakinkan bahawa politik masih berfungsi untuk mempertahankan maruah bangsa ini.

Winston Churcill telah memberikan iktibar kepada kita bahawa jalan keluar dan harapan sentiasa ada selagi kita terus berusaha tanpa henti.

Churcill yang dibenci oleh elit politik dan istana telah menyelamatkan institusi monarki dan rakyatnya daripada dijajah oleh kerajaan fasis Hitler, bukan Lord Halifax si pembodek raja.

Sejarah ini sebagai iktibar bagaimana daripada tiada harapan dan dengan segala kerosakan politik, kita yang bertanjak dan bersampin boleh mengembalikan semula kewibawaan politik agar tidak disalahgunakan oleh pencuri dan perasuah yang mengotori tanjak dan sampin kita.


MAHDZIR IBRAHIM adalah anggota Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS